TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN SOP PENGIMARAHAN AIDILFITRI 1442H / 2021M DI NEGERI PERLIS
Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara, sayugia dihebahkan SOP Pengimarahan Aidilfitri 1442H / 2021M di Negeri Perlis seperti berikut:
A- Pelaksanaan Solat Aidilfitri
1- Solat Aidilfitri di seluruh Negeri Perlis akan dilaksanakan di tanah lapang (musolla) pada jam 8.00 pagi. Solat Aidilfitri di tanah lapang bukan sahaja selaras dengan Sunnah, bahkan ia juga boleh mengurangkan risiko jangkitan dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.
2- Sekiranya keadaan cuaca yang tidak bersesuaian seperti hujan lebat, maka solat akan dilaksanakan di dalam masjid dengan kapasiti keluasan maksimum mengikut SOP sedia ada pada jam 8.30 pagi.
3- Demi untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19, TIADA Solat Aidilfitri yang boleh didirikan di mana-mana surau atau dewan orang ramai tanpa kelulusan pihak berkuasa agama.
4- Sehubungan itu, DYMM Tuanku Raja Perlis telah berkenan untuk berangkat menunaikan Solat Aidilfitri bersama-sama Rakyat Kariah Bandar DiRaja Arau di Dataran Istiadat, Perkarangan Istana Arau.
B- SOP Kehadiran dan penyertaan jemaah
5- Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti memakai pelitup separuh muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter, membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke tempat solat, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman, serta melaksanakan penjejakan sosial (mengimbas Kod QR MySejahtera / mendaftar pada buku).
6- Warganegara dan bukan warganegara, lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan Aidilfitri kecuali mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
7- Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.
8- Uncang pembungkus kasut amat digalakkan untuk digunakan. Dengan menjaga kesucian, uncang kasut ini boleh dibawa ke tempat solat untuk mengelakkan kesesakan di laluan masuk dan keluar.
9- Para jemaah digalakkan untuk membawa payung ke tempat solat untuk persiapan ketika panas dan hujan.
10- Bagi mereka yang telah merentas sempadan ke Perlis, Solat Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di rumah atau tempat tinggal masing-masing sahaja tanpa perlu hadir ke masjid. Untuk meminimumkan risiko penularan, mereka yang merentas sempadan juga hendaklah menangguhkan dahulu niat untuk mengimarahkan masjid-masjid di negeri Perlis.
C- Aktiviti lain yang berkaitan
11- Ziarah kubur pada musim Aidilfitri adalah dibenarkan dengan tertakluk kepada perkara 25 dalam “Fatwa Negeri Perlis Tentang Isu-isu Hukum Yang Menjadi Khilaf Di Kalangan Masyarakat Negeri Perlis” iaitu :
“Umat Islam disunatkan menziarahi kubur pada bila-bila masa tanpa mengkhususkan waktu dan hari tertentu sama ada hari raya atau selainnya. Perbuatan sesetengah pihak mengkhususkan ziarah kubur pada pagi hari raya telah disalah anggap seakan ia amalan agama yang dituntut. Selain itu, perbuatan itu juga menyalahi tujuan asal berhari raya di dalam islam iaitu sebagai hari bergembira. Tiada sebarang fadilat khusus menziarahi kubur pada pagi hari raya. Oleh itu, mengkhususkan hari raya sebagai hari menziarahi kubur adalah satu perbuatan yang menyalahi Sunnah Nabi SAW”.
12- Jamuan Aidilfitri di tempat solat boleh dilaksanakan dengan cara mengedarkan makanan yang siap dibungkus (tanpa menggunakan polisterin serta meminimakan plastik sekali guna) untuk dibawa pulang sahaja.
13- Solat jenazah dan pengurusannya boleh dilaksanakan di masjid-masjid dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
14- Akad nikah hendaklah dilaksanakan di rumah-rumah atau premis persendirian sahaja dengan pematuhan SOP, bukan di masjid, surau atau dewan orang ramai.
Peringatan
Sekiranya terdapat Pengurusan Masjid yang gagal mematuhi SOP yang berkuatkuasa, maka segala aktiviti di premis tersebut akan dikaji semula / ditarik balik demi memutuskan rantaian penularan.
Harapan
Marilah kita semua bersyukur kehadrat Allah Azza Wajalla yang telah melimpahkan kurnia-Nya buat Negeri Perlis tercinta dengan keadaan terkawal daripada penularan serius pandemik Covid-19. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Perlis tercinta agar sentiasa memperuntukkan doa kesejahteraan buat negeri kita dan negara secara keseluruhannya. Saya turut mendoakan agar seluruh rakyat agar dikurniakan kemudahan dalam berhadapan situasi berpanjangan pandemik Covid-19 dan berharap agar segala ujian ini dapat berakhir dengan sebaiknya. Bersamalah kita berusaha untuk kembali kepada fitrah kehidupan dengan membebaskan diri daripada ‘cengkaman Covid-19’.
Di kesempatan ini, saya dan seluruh Usrah Kerabat DiRaja, mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442H’. Semoga segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh-Nya jua.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 10 Mei 2021 bersamaan 28 Ramadan 1442H
Rujukan: MAIPs. 100 - 6 Jld. 7 (102)