TITAH DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU YANG DIPERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN AKTIVITI PENGIMARAHAN MASJID SELURUH NEGERI PERLIS SEPANJANG RAMADAN 1442H
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah melihat kepada keperluan dan kesediaan seluruh rakyat bagi memuliakan Bulan Ramadan dengan amal ibadah, maka Baginda telah memperkenankan aktiviti pengimarahan di masjid-masjid seluruh Negeri Perlis berdasarkan ketetapan seperti berikut:
PENGIMARAHAN MASJID SEMASA RAMADAN
1. Aktiviti pengimarahan sama ada solat berjemaah lima waktu, solat sunat tarawih, solat sunat witir, tazkirah, kuliah, forum, tadarus, iftar / berbuka puasa, sahur, jamuan, gotong-royong, qiyamullail, pengagihan sumbangan dan aktiviti-aktiviti lain yang bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP dan penjarakan fizikal 1 meter berdasarkan keluasan ruang secara maksimum.
2. Bagi jemaah yang hadir bersama keluarga yang tinggal sebumbung maka boleh merapatkan saf sesama mereka ketika solat, dengan memastikan selain mereka perlu mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter seperti yang ditetapkan dalam SOP Kesihatan dan Keselamatan.
3. Warganegara dan bukan warganegara, lelaki dan perempuan adalah dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengimarahan ramadan kecuali mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk menjangkiti dan dijangkiti.
4. Selain itu, setiap jemaah yang hadir perlulah melaksanakan segala SOP Kesihatan dan Keselamatan seperti memakai pelitup separuh muka, melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter pada setiap masa, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal, serta melaksanakan penjejakan sosial (mengimbas Kod QR MySejahtera / mendaftar pada buku).
5. Jemaah yang berhajat untuk membaca Al-Quran digalakkan untuk membawa Mushaf milik peribadi masing-masing atau menerusi gajet elektronik kepunyaan sendiri.
6. Uncang pembungkus kasut amat digalakkan untuk dibawa sendiri. Dengan menjaga kesucian, uncang kasut ini boleh dibawa ke tempat solat untuk mengelakkan kesesakan di pintu-pintu masjid ketika keluar.
PENGURUSAN MASJID
7. Bagi masjid yang menjangkakan berlaku limpahan kehadiran jemaah, solat tarawih boleh dilaksanakan dalam dua sesi untuk mengelakkan kesesakan seperti berikut:
a. Sesi 1: 9.00 malam sehingga 10.30 malam
b. Sesi 2: 10.30 malam sehingga 12.00 tengah malam
8. Imam jemputan dari luar Perlis adalah tidak dibenarkan, kecuali dimajukan permohonan dan mendapat kebenaran khas daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
9. Tenaga pengajar atau penceramah hendaklah memiliki Tauliah Mengajar Agama Islam Kategori Umum, melainkan mereka yang memohon dan mendapat kebenaran khas daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.
10. Makan dalam talam dan buffet secara layan diri adalah tidak dibenarkan. Kaedah buffet hanya dibolehkan jika dihidangkan oleh petugas manakala sajian makanan secara bungkus (tanpa menggunakan polisterin) adalah sangat digalakkan. Justeru, jamuan boleh diadakan sama ada dengan kaedah berikut:
a. Berbungkus (pack-food)
b. Dihidangkan (served)
c. Dome Setting
11. Pintu dan tingkap adalah digalakkan untuk dibuka manakala kipas angin dipasang untuk meningkatkan kelancaran pengaliran udara.
12. Segala aktiviti masjid hendaklah ditamatkan selewat-lewatnya jam 12:30 tengah malam bagi memberi ruang kepada penyelarasan pengurusan dijalankan seperti pembersihan dan aktiviti nyah kuman/sanitasi termasuk di tandas dan tempat wuduk.
13. Masjid hendaklah dibuka semula pada jam 4.00 pagi, adapun pada 10 hari akhir Ramadan, masjid boleh dibuka semula pada jam 3.00 pagi.
14. Jemaah yang berdaftar dengan jawatankuasa kariah untuk beriktikaf di 10 hari terakhir Ramadan adalah dibenarkan untuk bermalam di masjid dengan mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 5 meter. Penjarakan ini dikecualikan antara keluarga yang tinggal sebumbung. Kebenaran bermalam di masjid hanya terhad bagi jemaah lelaki sahaja.
15. Masa aktiviti di masjid secara ringkasnya adalah seperti berikut:
a. Masa masjid dibuka :
i- 1 – 19 Ramadan 1442H: 4.00 pagi
ii- 20 – 30 Ramadan 1442H: 3.00 pagi
b. Masa masjid ditutup :12.30 tengah malam
c. Masa Solat Tarawih:
i- Sesi 1: 9.00 malam sehingga 10.30 malam
ii- Sesi 2: 10.30 malam sehingga 12.00 tengah malam
PEMBUKAAN SURAU BERDAFTAR
16. Bagi surau-surau yang berdaftar dengan JAIPs, permohonan pembukaan surau boleh dimajukan untuk menjalankan aktiviti berbuka puasa, solat maghrib, isyak, tarawih, witir dan tadarus bermula jam 2:30 petang sehingga 11.00 malam sahaja. Borang permohonan adalah seperti yang dilampirkan.
17. Bagi aktiviti selain daripada yang dinyatakan di atas serta di luar waktu pembukaan surau, jemaah surau hendaklah menyokong dan menyertai aktiviti pengimarahan masjid kariah masing-masing.
18. Kebenaran berkenaan adalah tertakluk kepada keperluan menampung jumlah jemaah yang sampai kepada had maksimum mengikut ruang saiz masjid.
19. Adapun surau-surau yang tidak dibenarkan atas sebab tiada keperluan menampung jemaah maksimum di masjid, hendaklah kekal ditutup.
20. Permohonan hendaklah mendapat ulasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid mengikut lokasi surau tersebut. Semua permohonan mesti dihantar oleh Pengerusi Jawantankuasa Kariah berkenaan dan hendaklah sampai di Bahagian Dakwah JAIPs selewat-lewatnya jam 3:00 petang 9 April 2021 (Jumaat). Bagi permohonan yang berjaya, pemohon yang bertanggungjawab dan imam yang ditugaskan wajib menghadiri taklimat khas yang akan diadakan pada 12 April 2021 (Isnin) pada masa dan tempat yang akan ditetapkan oleh pihak JAIPs.
21. Semua surau juga adalah tertakluk kepada segala SOP Kesihatan dan Keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara selain perlu mengikuti peraturan dan garis panduan MAIPs yang berkuatkuasa.
PERINGATAN
22. Setiap pengurusan masjid dan surau yang diberikan kebenaran hendaklah sentiasa menjunjung segala peraturan yang telah ditetapkan dalam Titah Perutusan ini. Sekiranya terdapat masjid atau surau yang tidak mematuhi SOP yang berkuatkuasa maka segala aktiviti di premis tersebut akan dikaji semula / ditarik balik demi memutuskan rantaian penularan.
HARAPAN
Sesungguhnya segala peraturan dan ketetapan yang terkandung dalam Titah Perutusan ini adalah dikeluarkan dengan niat yang suci dan luhur, demi mengutamakan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan bersama. Sebagai Rakyat Perlis bermentaliti kelas pertama dalam tindakan, kepatuhan kepada setiap peraturan yang telah ditetapkan haruslah sentiasa dihayati dan diamalkan oleh semua pihak.
Di kesempatan ini, saya turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan selamat menempuh Ramadan Mubarak Tahun 1442H. Gunakanlah kesempatan pada Ramadan kali ini untuk memperteguhkan hubungan kepada Allah dengan amal ibadah serta mempereratkan tali persaudaraan sesama kita dengan amalan zakat, wakaf dan sedekah.
Semoga dengan ketibaan Ramadan ini dapat mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Azza Wajalla dan segala amal soleh kita diterima oleh-Nya.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis
Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh: 7 April 2021 bersamaan 24 Syaaban 1442H
Rujukan: MAIPs.100 - 6 Jld 7 (100)