KANGAR: Solat sunat Hari Raya Aidiladha akan dilaksanakan secara dua sesi pada masjid yang terpilih di Perlis pada Hari Raya Aidiladha bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan, berkata kedua-dua sesi terbabit akan dilakukan dengan sesi pertama bermula pada jam 8 pagi manakala sesi kedua jam 9 pagi.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil selepas menerima perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai langkah penjagaan keselamatan ketika pelaksanaan Solat Aidiladha 1441H dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Masjid mestilah mengambil kira faktor kepadatan penduduk, keadaan cuaca semasa dan perlaksanaan penjarakan sosial satu meter mengikut keluasan masjid sekiranya memutuskan untuk melaksanakan dua sesi solat Aidiladha.
"Bagaimanapun, Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar dibenarkan untuk menyelenggarakan Solat Aidiladha dalam tiga sesi berdasarkan keadaan semasa.
"Sesi pertama Solat Aidiladha akan bermula pada jam 8 pagi dan pada sesi ini keutamaan diberikan kepada pegawai masjid, Ahli Jawatankuasa Kariah, peserta ibadah korban, Ahli Jawatankuasa ibadah korban dan petugas ibadah korban bagi kariah, selain memberi keutamaan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas bersama dua pengiring mereka.
"Manakala bagi sesi kedua akan bermula pada jam 9 pagi, dan jemaah di sesi pertama mestilah bersurai sebelum jam 8.45 pagi bagi memberi laluan kepada jemaah sesi kedua," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Hazman berkata, surau di negeri ini juga perlu ditutup dengan perlaksanaan solat Aidiladha hanya tertumpu di masjid sahaja.
"Imam dan khatib yang bertugas hendaklah terdiri daripada Imam atau Pegawai Masjid bagi satu-satu kariah sahaja.
"Sekiranya wujud kekurangan pegawai masjid dalam kariah, permohonan hendaklah dimajukan segera ke Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs supaya pihak JAIPs dapat mengutuskan imam litar untuk bertugas," katanya
Sumber-BH Online