TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) IBADAH KORBAN
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, mengambil kira ketibaan Bulan Zulhijjah 1441H yang mulia, adalah dimaklumkan bahawa Baginda telah memperkenankan beberapa perkara seperti berikut:
1. Semua masjid serta Jabatan / agensi kerajaan dan NGO adalah dibenarkan untuk mengelola ibadah korban tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.
2. Keadaan 3S iaitu bersesak-sesak (SESAK), ruang yang sempit / tertutup / rapat (SEMPIT) dan sembang / berbual-bual dalam jarak dekat (SEMBANG) hendaklah dielakkan sama sekali.
3. Pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan-kawasan berikut:
a) Rumah sembelihan milik kerajaan ;
b) Rumah sembelihan milik swasta ;
c) Masjid ; dan
d) Premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan JAIPs.
4. Waktu korban yang dibenarkan adalah bermula selepas solat sunat hari raya Aidiladha sehingga sebelum masuk waktu Maghrib pada 13 Zulhijjah (31 Julai hingga 3 Ogos 2020). Sesi-sesi berbeza hendaklah ditetapkan untuk mengekalkan pematuhan SOP, serta waktu-waktu solat fardu hendaklah dihormati sepenuhnya.
5. Penganjur korban hendaklah menanda, menyukat dan memasang tanda penjarakan sosial dengan mengambil kira ketetapan seperti berikut:
a) Jarak antara haiwan korban dengan haiwan korban yang lain di lokasi sembelihan dan melapah adalah sekurang - kurangnya 5 meter.
b) Penjarakan sosial antara petugas di lokasi memotong, menimbang, membungkus dan mengagih adalah sekurang-kurangnya 1 meter.
6. Daging korban boleh dimasak dan dijadikan jamuan. Walau bagaimanapun proses menyediakan jamuan hendaklah mematuhi jarak sekurang-kurangnya 10 meter dari lokasi penyembelihan, serta jamuan hanya dikhususkan untuk peserta korban dan petugas tetap korban sahaja.
7. Adapun jamuan yang selain daripada ini, hendaklah disediakan di luar premis yang menyelenggarakan aktiviti ibadah korban. Bagi kenduri daging korban hendaklah disediakan dalam bentuk bungkusan untuk dibawa pulang, atau diadakan di rumah-rumah persendirian dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
8. Semua petugas di lokasi sembelihan dan pemprosesan daging korban diwajibkan untuk memakai pelitup muka, sarung tangan dan apron bergred kesihatan. Digalakkan untuk penganjur korban menyediakan alat perlindungan yang dinyatakan ini dengan warna dan kualiti yang seragam.
9. Keseluruhan tapak penyembelihan, melapah, memotong, mengagih dan tempat memasak hendaklah disanitasi.
10. Semua pihak yang bercadang untuk mengelolakan ibadah korban di negeri Perlis hendaklah mengemukakan “Borang Permohonan Ibadah Korban Tahun 1441H/2020 Negeri Perlis” kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh 10 Zulhijjah 1441H bersamaan 24 Julai 2020.
Melihat kepada suasana yang berlaku di sebahagian tempat yang kembali berhadapan gelombang penularan Covid-19, adalah dinasihatkan kepada semua pihak untuk terus konsisten dalam menjaga SOP keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan. Dalam kemeriahan menyambut Aidiladha yang bakal menjelma, seluruh Umat Islam adalah dinasihatkan agar sentiasa mengutamakan kemaslahatan umum mengatasi kepentingan peribadi. Semoga segala amalan dan pengorbanan kita semua diterima oleh Allah SWT.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 22 Julai 2020 bersamaan 1 Zulhijjah 1441H
Rujukan: MAIPs. 100 - 6 Jld 7 ( 89 )