TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN TAMBAHAN KELONGGARAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT DAN SOLAT 5 WAKTU MASJID SELURUH NEGERI PERLIS DAN BEBERAPA KETETAPAN BERKAITAN IBADAH KORBAN DAN AIDILADHA
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah mengambil kira keadaan dan suasana terkini fasa pemulihan penularan pandemik Covid-19 serta pengekalan 79 hari tanpa penambahan kes positif baharu sejak 7 April 2020 lalu di negeri Perlis, serta ketibaan Aidiladha yang bakal menjelma maka Baginda telah memperkenankan Prosedur Operasi Standard (SOP) menunaikan Solat Jumaat dan solat berjemaah 5 waktu seperti yang terkandung dalam Titah Perutusan [MAIPs.100 – 6 Jld 7( 85 )] pada 10 Jun 2020 lalu dan [MAIPs.100 – 6 Jld 7( 86 )] pada 18 Jun 2020 lalu dengan kelonggaran perkara-perkara berikut:
1- Ruangan solat di masjid dibuka sepenuhnya termasuk di perkarangan masjid jika ruangan masjid tidak mencukupi dengan pelaksanaan SOP penjarakan sosial yang dilonggarkan kepada jarak 1 meter. Pendaftaran penjejakan sosial akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid di pintu pagar utama masjid.
2- Jawatankuasa Kariah Masjid hendaklah memastikan terdapat ruangan solat di kawasan luar masjid sekiranya ruangan sedia ada tidak mencukupi.
3- Kuliah Maghrib dan Subuh dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid dengan pengekalan SOP keselamatan seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan selain melaksanakan penjarakan sosial. Pelaksanaan kuliah berkenaan oleh Guru Takmir dan Guru Majlis akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
4- Setelah dikaji dengan teliti dan cermat, pelaksanaan ibadat di surau-surau seluruh negeri Perlis belum terdesak untuk dibenarkan memandangkan terdapat keperluan untuk mematuhi beberapa SOP keselamatan. Namun begitu, masyarakat digalakkan melaksanakan ibadat di masjid-masjid seluruh Negeri Perlis. Kebenaran pada masa akan datang akan dipertimbangkan dengan mendapat kelulusan Majlis.
5- Melihat kepada pembukaan sekolah yang telah diumumkan oleh Kerajaan, maka diberikan kebenaran kepada pihak sekolah untuk membuka surau dalam premis sekolah tanpa melibatkan pihak luar dengan tanggungjawab dan pemantauan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
6- Ibadah Korban adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP khas yang bakal ditetapkan.
7- Solat Aidiladha dibenarkan untuk dilaksanakan dan tertakluk kepada peraturan yang akan ditetapkan.
8- Pemakaian kelonggaran ini adalah bermula Sabtu, 27 Jun 2020 sehingga arahan baru dikeluarkan oleh MAIPs mengikut Perutusan yang berikutnya.
Sesungguhnya, perintah untuk meninggikan syariat dan syiar Islam merupakan tanggungjawab tertinggi umat Islam yang melebihi dari segala sesuatu. Justeru kelonggaran SOP yang diperkenankan ini, diharap akan disambut baik oleh seluruh rakyat dengan penuh syukur dan taat. Semoga segala usaha dan ikhtiar kita diperkenankan oleh Allah SWT.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 25 Jun 2020 bersamaan 4 Zulkaedah 1441H