ARAU - Hampir 2,000 umat Islam bersama dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Arau di sini hari ini. Baginda berdua tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.35 pagi seterusnya bersama para jemaah takbir raya sebelum menunaikan solat sunat tersebut dan diakhiri dengan khutbah Aidilfitri yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Berangkat sama menunaikan solat tersebut, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah selepas menunaikan solat tersebut sebelum berangkat ke Istana Arau bagi bersama rakyat jelata dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri.
Sementara itu, sambutan hari raya di negeri ini meriah dengan umat Islam saling kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handal.-
SUMBER : UTUSAN ONLINE