MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan bahawa orang Islam perlu terus menyokong produk dan perkhidmatan keluaran Muslim bagi memastikan kuasa ekonomi yang lebih kukuh.
Beliau berkata, ekonomi adalah senjata baharu pada masa kini yang menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Malah, usaha memartabatkan ekonomi Islam adalah tanggungjawab semua orang Islam di dunia ini.
"Ketika saya menyeru umat Islam untuk membantu satu sama lain dalam urusan ekonomi, beberapa pihak tidak setuju kerana takut akan hal ini dan mengatakan saya sebagai mempromosikan 'perkauman'.
"Saya hanya ingin menggalakkan masyarakat Islam untuk membantu sesama Islam dengan membeli barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan orang Islam.
"Hakikatnya, saya tidak pernah meminta sesiapa untuk memboikot barangan dan perkhidmatan bukan Islam. Saya hanya meminta orang Islam untuk mempertimbangkan keadaan ekonomi ummah ketika berbelanja," katanya dalam sesi perbincangan bertajuk 'Pengagihan Kekayaan - Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, walaupun mempunyai kuasa beli yang cukup kuat, ekonomi Islam agak mundur dari segi pengeluaran dan penguasaan pasaran barangan dan perkhidmatan.
"Malah, saya melihat umat Islam di negara kita masih lemah dalam sektor perniagaan. Peniaga Islam berdepan persaingan sengit dalam ekonomi di mana sukar untuk mereka memiliki pasar raya utama atau memasarkan barangan atau perkhidmatan Islam.
"Keadaan ini disebabkan oleh faktor-faktor tertentu yang memerlukan kajian lanjut," katanya.
Menurutnya, bagi situasi di Malaysia, pemilikan perniagaan dilihat agak terhad dan jarang sekali orang bukan Islam membeli atau mempromosikan produk Islam.
"Saya tidak pasti sama ada ini kerana faktor kualiti atau beberapa sebab lain. Keadaan ini pasti akan bertukar menjadi lebih buruk jika orang Islam sendiri tidak membeli barangan dan perkhidmatan di gerai, kedai atau pasar yang dimiliki oleh rakan mereka," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 5:01 PM
Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2019/12/527963/orang-islam-perlu-terus-sokong-produk-muslim