Resolusi Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-3, Tahun 2025 “Ta‘āwun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan”

Resolusi Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-3, Tahun 2025 “Ta‘āwun Dalam Dakwah: Antara Persamaan dan Perbezaan”

Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ketiga yang diadakan pada 21 dan 22 Jamadilawal 1447H bersamaan 12 dan 13 November 2025M, bertempat di Bilik Gerakan 1, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, yang disempurnakan perasmiannya oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs, telah bersetuju dengan perkara-perkara berikut:

PERTAMA: ASAS UMUM DIPLOMASI DAN KERJASAMA

Pendekatan diplomasi dan kerjasama dengan pelbagai pihak demi menjaga kemaslahatan dakwah merupakan wasilah atau cara yang diiktiraf oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kerjasama itu boleh berlaku sekalipun melibatkan pihak yang berbeza agama atau pandangan dalam perkara-perkara usul. Hal ini telah berlaku dalam Sirah Nabi Muhammad SAW seperti Ḥilfu al-Fuḍūl (Sumpah Setia Fuḍūl), Perjanjian Hudaibiyyah, pengiktirafan pemerintahan Najasyi di Habasyah dan lain-lain.

Asas kerjasama adalah untuk mencapai kemaslahatan dakwah. Penentuan bentuk dan batas kerjasama hendaklah berasaskan prinsip-prinsip Islam dan ijtihad semasa para pendakwah, dengan mengambil kira realiti dan keperluan di tempat masing-masing.

  1. Kemaslahatan dakwah boleh terhasil apabila:
  2. Risalah Islam dapat disampaikan kepada sasaran dakwah.
  3. Pegangan atau kepercayaan yang menyimpang dapat disangkal atau dinafikan.
  4. Minat atau kecenderungan sasaran dakwah kepada Islam dapat dipupuk.
  5. Ancaman terhadap dakwah yang hakiki dapat dikurangkan.
  6. Kezaliman atau kerosakan terhadap manusia dapat dicegah atau dihindarkan.
  7. Kebaikan yang selaras dengan ajaran Islam dapat dibawa kepada manusia.
  8. Imej yang baik tentang Islam dapat ditonjolkan.
  9. Bahaya dan ancaman bersama dapat dihadapi.
  10. Kemuliaan insan dapat dihormati dan dijunjung tinggi.

KEDUA: BATASAN DAN GARIS PANDUAN UMUM

Kerjasama yang dijalankan hendaklah tidak membawa kepada perkara-perkara berikut:

  1. Mengorbankan prinsip-prinsip Islam, seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, menghalalkan yang haram, menzalimi pihak lain tanpa hak, atau melanggar hukum syarak.
  2. Menimbulkan salah faham terhadap ajaran Islam, seperti memberi gambaran bahawa Islam menghalalkan perbuatan yang jelas haram seumpama LGBT, penghinaan terhadap keluarga dan sahabat Nabi SAW, penindasan, rasuah dan lain-lain.
  3. Merosakkan strategi dan masa depan dakwah dari sudut persepsi masyarakat atau kedudukan umat Islam secara keseluruhan.

KETIGA: KERJASAMA DENGAN PIHAK BERBEDA AGAMA DAN FIRQAH ATAU ALIRAN YANG MENYIMPANG

Kerjasama dengan non-muslim dibolehkan dalam perkara-perkara yang mempunyai nilai kemanusiaan sejagat (universal), seperti keamanan, kebajikan, dan keadilan sosial. Ini seperti yang termaktub dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8. Dalam konteks ini, isu akidah tidak dibangkitkan kerana kerjasama tersebut tidak berada dalam ranah keimanan. Dalam Sirah Nabi SAW, Baginda membenarkan Najasyi, Raja Habasyah bernama Aṣḥamah bin Abḥar, yang telah menganut Islam dan menyembunyikan keislamannya untuk terus memimpin Kerajaan Habasyah yang zahirnya Kristian. Demikian juga baginda SAW mengiktiraf (mengakui) Ḥilfu al-Fuḍūl (Sumpah Setia al-Fuḍūl) yang berlaku dalam kalangan Quraish yang bertujuan menentang pihak yang zalim.

Jika kerjasama dengan pihak yang berbeda agama boleh dilakukan, pastinya kerjasama dengan golongan atau firqah yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah juga boleh dilakukan dalam perkara-perkara umum dan sejagat yang disepakati bersama, seperti isu penjajahan, kezaliman ke atas Umat Islam, hak asasi manusia, perkara-perkara yang dapat mengurangkan ketegangan antara aliran dan seumpamanya. Dalam sejarah, para ulama memuji tindakan Khalifah al-Mu‘tasim membebaskan tawanan Muslimah di ‘Ammūriyyah walaupun beliau berpegang kepada akidah Mu‘tazilah.

Kerjasama atau langkah diplomasi yang dijalankan oleh gerakan dakwah dengan pihak yang berbeda dalam agama atau usul (prinsip) adalah berasaskan pengiktirafan hak untuk hidup bersama (ḥaqq al-ta‘āyush) dalam sesebuah masyarakat majmuk, bukan pengiktirafan kebenaran agama atau ajaran yang menyimpang tersebut. Ini kerana, pengiktirafan untuk hidup bersama merupakan perkara muamalat dalam bab Fiqh. Adapun persoalan pengiktirafan kebenaran isi ajaran mereka, itu merupakan perkara akidah yang merupakan garis merah dalam diri seorang mukmin.

KEEMPAT: PENDEKATAN DAMAI DAN KERJASAMA DENGAN PEMERINTAH

Pendekatan damai dan kerjasama yang mengelakkan konfrontasi langsung dengan pemerintah lebih membawa maslahah kepada kelangsungan dakwah dan kestabilan umat. Apatah lagi, jika pemerintah itu muslim. Namun, para pendakwah tidak seharusnya dilihat menghalalkan penyelewengan, kezaliman atau kesalahan pemerintah. Sebaliknya, perlu mengekalkan prinsip amar makruf dan nahi mungkar dengan penuh hikmah.

KELIMA: KERJASAMA SESAMA UMAT ISLAM YANG BERBEDA PADA PERKARA-PERKARA FURU’ (CABANG)

Kerjasama sesama umat Islam hendaklah diperkukuhkan walaupun terdapat perbedaan dalam perkara furu’ (cabang). Perbedaan dalam khilaf yang muktabar tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan dan kerjasama dalam menghadapi ancaman terhadap Islam. Toleransi dalam perkara yang boleh diperselisihkan adalah satu tuntutan demi menjaga kesatuan dan kekuatan umat.

KEENAM: ETIKA ILMIAH DALAM DIPLOMASI DAKWAH

Pendekatan diplomasi dan kerjasama tidak menghalang para pendakwah daripada menyampaikan penjelasan ilmiah terhadap pandangan atau pegangan yang berbeda. Namun, hal ini hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah, adab, dan kebijaksanaan agar tidak merosakkan kerjasama yang telah terjalin atas dasar kemaslahatan dakwah.

KETUJUH: MEMANFAATKAN RUANG DAN PELUANG

Gerakan dakwah Islam yang tulen hendaklah memanfaatkan pelbagai ruang dan peluang yang wujud pada masa kini demi kemaslahatan dakwah. Antara ruang tersebut termasuklah aktiviti kebajikan, seni, budaya (kultur), serta penglibatan dalam isu-isu semasa yang menjadi perhatian masyarakat.

Sikap yang sempit dan jumud hanya akan merugikan kekuatan umat Islam, sedangkan pihak lain mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menguasai pemikiran manusia.

Kerjasama dengan pelbagai pihak boleh dijalankan selama mana ia berada dalam batas syarak dan memberi manfaat serta imej positif kepada dakwah Islam. Segala usaha itu hendaklah diatur dengan baik, berpandangan jauh serta penuh kebijaksanaan agar nama baik dakwah terus terangkat dan dihormati di mata masyarakat.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 579
Semalam 827
Minggu Ini 6418
Bulan Ini 1638

Keseluruhan 3611678

   Masa Capaian : 1.25 saat    Kemaskini :  02/5/2026