Kangar, 14 Oktober 2025 (Selasa) – Jabatan Mufti Negeri Perlis hari ini telah mengadakan Taklimat Keselamatan Kebakaran yang disampaikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Program ini merupakan inisiatif Unit Pentadbiran Jabatan Mufti Negeri Perlis bagi memenuhi syarat Audit Keselamatan oleh CGSO (Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia).
Taklimat tersebut dimulakan dengan slot pertama Ceramah Pengungsian Bangunan yang disampaikan oleh PKPgB Ashraf Effendi Bin Abd Rahim, manakala PBK II Mohd Fareez Emir Bin Mohd Nor turut hadir sebagai penceramah jemputan yang berkongsi panduan keselamatan dan tindakan kecemasan semasa menghadapi kebakaran di tempat kerja.
Program ini melibatkan penyertaan penuh semua kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perlis, dengan objektif memperkukuh tahap kesedaran keselamatan, serta memastikan kesiapsiagaan warga jabatan dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan kebakaran di premis jabatan.
Penganjuran taklimat ini mencerminkan komitmen Jabatan Mufti Negeri Perlis terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan warga kerja, sejajar dengan keperluan persekitaran kerja yang selamat, efisien dan mematuhi piawaian keselamatan jabatan kerajaan.