Kangar, 14 Oktober 2025 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menganjurkan Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2025 bertempat di Dewan Warisan, Kangar. Program ini menghimpunkan para Penolong Pendaftar Perkahwinan dari seluruh negeri dalam usaha memperkukuh kefahaman, etika dan profesionalisme dalam pengurusan perkahwinan umat Islam.
Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, menyampaikan Bicara Mufti Negeri Perlis yang memberi penekanan terhadap peranan besar para Penolong Pendaftar dalam memastikan urusan perkahwinan berjalan berlandaskan syarak dan amanah agama. Beliau menegaskan bahawa tugas pendaftar bukan sekadar urusan pentadbiran semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab besar dalam membina institusi kekeluargaan Islam yang kukuh dan harmoni.
Muzakarah tersebut turut menampilkan beberapa sesi perkongsian ilmiah oleh penceramah jemputan antaranya Puan Maizura binti Shamsuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis yang membincangkan aspek tatakelola pengurusan pendaftaran nikah dalam dan luar negara; Encik Che Hamdan bin Che Ngah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis yang menekankan isu integriti dalam pengurusan perkahwinan; serta Ustaz Ahmad Sirajuddin bin Abdul Satar, Ketua Pendaftar Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk yang menjelaskan kepentingan etika dalam pelaksanaan akad nikah.
Program yang disertai oleh para Penolong Pendaftar dari seluruh negeri ini menjadi wadah perbincangan dan perkongsian pengalaman antara para pegawai agama dalam memperkukuh tatakelola perkahwinan Islam serta meningkatkan profesionalisme dalam perkhidmatan kepada masyarakat.