KANGAR, 9 Oktober 2025 – Seminar Pemikiran al-Qaradawi 2025 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Warisan, Kangar, Perlis, anjuran Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Seminar ini memberi tumpuan kepada penghayatan terhadap gagasan pemikiran dan sumbangan besar Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama ulung dunia Islam yang dikenali atas ketokohan dalam bidang fiqh, maqasid syariah serta usaha pembaharuan pemikiran Islam moden.
Mufti Negeri Perlis merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSIRAJ, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, telah menyampaikan ucap utama bertajuk “Ketokohan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi sebagai Mujaddid.”
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa ketokohan Syeikh al-Qaradawi bukan sahaja terserlah melalui keluasan ilmu, tetapi juga melalui keberanian dan kebijaksanaan dalam mengemukakan pandangan Islam yang seimbang.
Seminar ini turut menampilkan pembentangan ilmiah oleh Rektor UniSIRAJ, Sahibul Fadilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle, melalui tajuk “Fiqh al-Taysir di sisi al-Qaradawi”; Profesor Adjung Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam UniSIRAJ, Sahibul Fadilah Dr. Zaharuddin bin Abd Rahman, dengan pembentangan bertajuk “Pendekatan Maqasid di sisi al-Qaradawi”; serta Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Sahibul Fadilah Dr. Sufian Che Abdullah, yang mengupas tajuk “Fiqh al-Aulawiyyat dalam Kerangka Pemikiran al-Qaradawi.”
Melalui penganjuran seminar ini, para peserta berpeluang memperluas pemahaman tentang warisan pemikiran Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi yang bersifat moderat, menyeluruh dan berpaksikan prinsip keseimbangan. Ia sekali gus memperkukuh usaha bersama UniSIRAJ dan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam memperkasa wacana keilmuan Islam serta mempertingkat kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai pembaharuan yang selaras dengan maqasid syariah.