Kangar, 3 Oktober 2025 – Umat Islam diingatkan agar sentiasa meningkatkan ketakwaan dan bersatu mempertahankan maruah agama serta saudara seIslam yang ditindas, khususnya di bumi Palestin.
Dalam khutbah Jumaat bertajuk “Rencana Musuh Terhadap Islam” yang disampaikan di seluruh masjid negeri Perlis hari ini, umat Islam diingatkan bahawa kezaliman Yahudi Zionis bukanlah perkara baharu, bahkan telah disebut dalam al-Quran tentang sifat mereka yang kufur, menolak kebenaran serta menzalimi para Nabi.
Khutbah tersebut turut menegaskan bahawa tindakan ganas rejim Zionis Israel memintas kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza jelas membuktikan sikap mereka yang tidak berperikemanusiaan. Lebih malang, para aktivis termasuk rakyat Malaysia ditahan hanya kerana membawa ubat-ubatan dan makanan untuk rakyat Gaza yang dizalimi.
Sehubungan itu, umat Islam diseru agar tidak berdiam diri, sebaliknya terus menzahirkan solidariti dengan doa, harta, suara dan usaha masing-masing untuk membela aktivis kemanusiaan serta mempertahankan bumi Palestin. Rasulullah SAW sendiri menegaskan kewajipan seorang Muslim membela saudaranya yang dizalimi.
Khutbah turut mengingatkan bahawa rencana jahat musuh Islam akan berterusan melalui percaturan politik dunia, di mana kuasa-kuasa besar bersekongkol melemahkan umat Islam. Justeru, umat Islam perlu teguh berpegang pada agama dan memainkan peranan dalam menegakkan kebenaran.
Dalam penutup khutbah, para jemaah diajak memperbanyakkan doa agar para aktivis kemanusiaan yang ditahan selamat, rakyat Palestin terus diberi kekuatan, serta Allah SWT menghancurkan kezaliman rejim Zionis. Negeri Perlis juga menegaskan akan terus istiqamah melaksanakan Qunut Nazilah sebagai tanda sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.