Arau, 30 September – Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini menganjurkan Seminar Penerangan Isu-Isu Fatwa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 di Dewan Sivik, Arau. Seminar yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu menghimpunkan pegawai agama, ahli akademik, pelajar institusi pengajian serta masyarakat umum bagi memperkukuh kefahaman terhadap fatwa semasa.
Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, menyampaikan ucaptama bertajuk “Islam Mengimbangi Antara Syariat dan Adat”. Beliau menegaskan bahawa kefahaman terhadap fatwa perlu diberikan dengan jelas agar masyarakat dapat menilai kedudukan syariat berbanding adat dalam kehidupan seharian serta mengelakkan salah tanggapan terhadap hukum Islam.
Turut membentangkan kertas kerja ialah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim yang menyentuh isu-isu akidah dan akhlak, sementara Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle membicarakan fatwa berhubung ibadah. Profesor Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahlan pula membentangkan topik berkaitan isu kekeluargaan.
Seminar berkenaan disempurnakan dengan ucapan perasmian penutup oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia, YB Ustaz Muhammad Azmir bin Azizan. Beliau menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Jabatan Mufti Negeri Perlis yang terus konsisten mendidik masyarakat dengan pencerahan mengenai keputusan fatwa.
Untuk memberi manfaat lebih meluas, seminar ini turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.