Kangar, 24 September 2025 – Temuduga Ujian Lisan Al-Quran anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis telah berlangsung dengan lancar hari ini bertempat di Dewan Kuliyyah Behor Temak, Kangar.
Sesi temuduga yang bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini melibatkan calon-calon terpilih yang menjalani penilaian bacaan serta kefahaman terhadap ayat-ayat suci Al-Quran.
Bagi menjamin mutu penilaian, Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menjemput panel penilai yang berkelayakan dalam bidang Al-Quran dan tajwid. Antara panel yang hadir ialah YBhg. Dr. Luqman Bin Mat Sin, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), serta YBhg. Ustaz Muhammad Anas Abdul Hadi, Johan Qari Negeri Perlis 2025.
Penilaian tertumpu kepada kelancaran bacaan Al-Quran dan penguasaan hukum-hukum tajwid. Proses ini penting bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan mempunyai kefahaman mendalam tentang disiplin ilmu Al-Quran diberikan tauliah rasmi untuk mengajar.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam memperkasa pengajaran Al-Quran, sekali gus memastikan penyampaian ilmu kepada masyarakat dilakukan secara tepat, sahih dan berkesan.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua calon yang hadir serta menunjukkan komitmen tinggi sepanjang sesi berlangsung. Temuduga ini telah diurus setiakan oleh Unit Falak dan Pengajaran, Jabatan Mufti Negeri Perlis.