• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Manfaatkan Masa Bersama Keluarga Asas Kebahagiaan Dan Keharmonian Hidup

Manfaatkan Masa Bersama Keluarga Asas Kebahagiaan Dan Keharmonian Hidup

Kangar, 19 September 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menerbitkan teks khutbah Jumaat bertajuk “Manfaatkan Masa Bersama Keluarga” untuk dibacakan di seluruh masjid di negeri ini. Khutbah berkenaan menekankan kepentingan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebagai satu nikmat besar daripada Allah SWT yang wajib disyukuri dan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Khutbah menjelaskan bahawa rumah dan keluarga bukan sekadar tempat berlindung daripada panas dan hujan, bahkan menjadi pusat ketenangan, kasih sayang dan pendidikan utama dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia. Rumah tangga digambarkan sebagai madrasah pertama yang mendidik anak-anak, justeru setiap detik yang dihabiskan bersama keluarga adalah pelaburan yang membentuk kehidupan umat yang lebih baik.

Selain itu, khutbah turut menyeru umat Islam agar menjadikan masa bersama keluarga sebagai medan teladan. Rasulullah SAW bersabda bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang berbuat baik kepada keluarganya. Justeru, akhlak mulia, kesabaran dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada pasangan serta anak-anak adalah ukuran sebenar kebaikan seorang insan.

Khutbah juga menekankan kewajipan memelihara hubungan silaturahim sesama ahli keluarga kerana ia merupakan pintu keberkatan hidup dan kelapangan rezeki. Bahkan, umat Islam diingatkan agar mengelakkan pertengkaran dan mengawal emosi dalam rumah tangga, sebaliknya memilih untuk bercakap dengan perkataan yang baik yang menjadi kunci keharmonian.

Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui khutbah ini turut menegaskan bahawa cuti dan masa terluang hendaklah digunakan sebaik-baiknya untuk memperbaiki kekurangan, mendidik anak-anak dan memperkukuhkan institusi keluarga. Keharmonian rumah tangga merupakan asas kesejahteraan hidup, manakala keluarga yang rapat dan saling menyayangi akan membentuk masyarakat yang kuat dan bahagia.

Di akhir khutbah, para jemaah diingatkan bahawa kehidupan di dunia hanyalah persinggahan manakala akhirat adalah tempat kembali yang kekal abadi. Oleh itu, masa yang ada bersama keluarga hendaklah dimanfaatkan dengan penuh kesyukuran dan dijadikan ruang menambah amal soleh sebagai bekalan menuju akhirat.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 54
Semalam 632
Minggu Ini 4467
Bulan Ini 21180

Keseluruhan 3304092

   Masa Capaian : 1.41 saat    Kemaskini :  26/9/2025