KANGAR, 11 September 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Khas Pewartaan Fatwa Berimplikasi Undang-Undang pada hari ini di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ahli panel yang terdiri daripada Sahibus Samahah Profesor Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin selaku Mufti Negeri Perlis, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Ketua Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Akram bin Dato' Dahlan @ Dahman, pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis serta beberapa ahli lain.
Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Yang Zaimay bin Yang Ghazali, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis.
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah penyelarasan proses pewartaan semua keputusan Mesyurat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis agar ia dapat dilaksanakan dengan tertib selaras dengan kehendak undang-undang Negeri. Ini bagi memastikan pewartaan fatwa dapat dilaksanakan secara sistematik mengikut lunas undang-undang.
Mesyuarat turut meneliti Draf Pewartaan Fatwa yang melibatkan isu-isu akidah, ibadah, munakahat, muamalat dan dasar umum sekiranya terdapat apa-apa pindaan yang mempunyai implikasi undang-undang sebelum ia diwartakan.
Selain itu, mesyuarat ini turut membuka ruang kepada perbincangan strategik antara pihak berkuasa agama negeri dan institusi perundangan dalam memperkukuh institusi fatwa sebagai sebuah entiti berautoriti dengan menjunjung tinggi titah perkenan DYMM Tuanku Raja Pemerintah selaku ketua urusan hal ehwal agama Islam negeri Perlis.