Kangar, 31 Ogos 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menyertai perarakan sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung meriah di laluan hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Kangar Jaya.
Acara gilang-gemilang ini turut menyaksikan keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis selaku tetamu kehormat, diiringi DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, serta kehadiran YAB Menteri Besar Negeri Perlis bersama para pembesar negeri.
Kontinjen Jabatan Mufti Negeri Perlis melibatkan 35 orang pegawai dan kakitangan, diketuai oleh SF Ustaz Tajul Urus Bin Abdul Halim. Penyertaan ini mendapat sokongan padu daripada SS Dato’ Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, sebagai tanda komitmen jabatan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI.
Sambutan ini turut dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pasukan beruniform, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat yang bersama-sama menjayakan perarakan penuh warna-warni serta penuh semangat cintakan negara.