KANGAR, 22 Ogos – Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menetapkan bahawa aktiviti jual beli atau sebarang urusan yang boleh melalaikan adalah haram dilakukan sebaik sahaja khatib menaiki mimbar dan azan Jumaat dilaungkan.
Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan melalui laman sosial Jabatan Mufti Negeri Perlis, larangan ini bertujuan mengelakkan umat Islam daripada melengah-lengahkan kewajipan menghadiri solat Jumaat.
“Larangan ini turut meliputi mereka yang tidak wajib solat Jumaat seperti wanita, kanak-kanak dan musafir, sekiranya mereka melakukan akad atau urusan jual beli dengan pihak yang wajib hadir Jumaat,” menurut kenyataan itu.
Bagi menghormati syiar Jumaat, Jawatankuasa Fatwa mencadangkan agar semua premis perniagaan yang berada berhampiran tempat solat Jumaat menghentikan operasi sementara waktu.
Keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-69/2024 dan diperakukan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bil. 5/2024.