Kangar, 15 Ogos 2025 – Suara mimbar di seluruh masjid Negeri Perlis hari ini bergema dengan seruan penuh perasaan melalui khutbah Jumaat bertajuk "Gaza Menangis, Di Manakah Kita? yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis. Khutbah ini bukan sekadar peringatan, tetapi seruan jihad kemanusiaan yang mengajak umat Islam untuk bangkit bersama mempertahankan maruah saudara seagama di bumi Palestin.
Mimbar mengingatkan bahawa penderitaan rakyat Gaza bukan hanya kisah di kaca televisyen atau helaian berita, tetapi realiti yang mengalir bersama darah dan air mata. Mereka diserang tanpa henti, dipaksa hidup dalam kepungan, dan dibunuh tanpa belas. Namun, soalan besar yang diajukan – di manakah kita? Adakah kita sekadar memandang, atau kita berdiri bersama mereka?
Khutbah menegaskan, membantu Gaza adalah kewajipan, dan ia mesti dilakukan dengan apa jua kemampuan, sama ada melalui doa yang tidak putus, suara yang lantang menyatakan bantahan, sokongan yang membakar semangat perjuangan, atau sumbangan yang menghidupkan harapan.
Mimbar juga menyeru agar umat Islam memboikot produk yang memberi keuntungan kepada musuh Zionis. Musuh tidak hanya menyerang dengan peluru dan bom, tetapi juga menakluk melalui kuasa ekonomi. Setiap sen yang kita belanjakan kepada mereka adalah peluru yang kembali membunuh saudara kita. Tiada alasan yang dapat menutup kelalaian. Setiap daripada kita memegang amanah ini, dan amanah itu hanya dapat ditunaikan dengan tindakan nyata.
Jabatan Mufti Negeri Perlis menyeru agar khutbah ini menjadi pembakar semangat, mencetuskan rasa bangga dan tanggungjawab, serta menggerakkan seluruh masyarakat untuk terus bersatu, berdoa, membantu dan berdiri teguh di belakang rakyat Palestin. Gaza mungkin jauh, tetapi darah dan air mata mereka mengalir dalam jiwa kita semua.