KANGAR, 7 Ogos 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Masjid Tun Abdul Razak, Repoh telah berjaya menganjurkan satu sesi Tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh tokoh ilmuwan jemputan dari negara Yaman, Syeikh Dr. Abdullah Bin Omar Bin Mar’i.
Program yang berlangsung pada hari Khamis, 7 Ogos 2025 di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh ini telah menarik kehadiran ramai jemaah yang hadir bagi mengikuti pengisian ilmiah bertajuk “Penyakit Hati dan Penawarnya Menurut Islam”. Penyampaian tazkirah telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Dr. Muhammad Luthfi bin Muhammad Masruh, Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).
Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam memperluas penyampaian ilmu secara langsung kepada masyarakat serta menggalakkan penglibatan aktif dalam majlis-majlis ilmu yang bermanfaat.
Jabatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syeikh Dr. Abdullah Bin Omar Bin Mar’i atas kesudian menyampaikan tazkirah, kepada Dr. Muhammad Lutfi bin Muhammad Masruh atas khidmat penterjemahan, serta kepada pihak pentadbiran Masjid Tun Abdul Razak atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.