KANGAR, 2 Ogos 2025 – Tarikh rasmi bagi Perkhemahan Sunnah Muslimah 2025 telah diumumkan secara rasmi oleh Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, semasa menyampaikan ucaptama penutup dalam Seminar Women of Sunnah yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Negeri Perlis hari ini.
Perkhemahan tahunan yang dinanti-nantikan itu akan berlangsung pada 27 hingga 28 September 2025, dan bakal menghimpunkan para peserta wanita daripada pelbagai latar belakang bagi mendalami kefahaman Islam berteraskan al-Quran dan al-Sunnah, dengan pendekatan yang mesra wanita serta berpaksikan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam yang murni.
Pelancaran tarikh tersebut dilakukan dalam suasana penuh simbolik, bertepatan dengan tema seminar pada tahun ini iaitu “Men and Women Are the Awliya’ of Each Other”, yang disampaikan oleh Shaikha Dr. Haifaa Younis, seorang tokoh ilmuan Muslimah terkenal dari Amerika Syarikat.
Menurut SS Mufti, Perkhemahan Sunnah bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi platform pendidikan dan pencerahan yang memberi ruang kepada para Muslimah untuk memperkukuh kefahaman agama berdasarkan ilmu yang sahih serta mengukuhkan ukhuwah dalam suasana yang harmoni.
Seminar Women of Sunnah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Light Upon Light serta penajaan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berjaya menarik kehadiran ratusan peserta dari seluruh negara, dan dirasmikan oleh DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.