KANGAR, 25 Julai 2025 – Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 telah berlangsung dengan penuh penghargaan di Hotel Seri Malaysia, Kangar hari ini.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, dan turut dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua-ketua jabatan serta para penerima anugerah daripada pelbagai jabatan dan agensi negeri serta persekutuan.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan tahunan Kerajaan Negeri kepada penjawat awam yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, disiplin tinggi dan komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan.
Antara penerima anugerah bagi tahun ini ialah YBhg. Ustaz Syed Abdullah Idid bin Syed Salim Idid dari Jabatan Mufti Negeri Perlis, yang berperanan penting dalam penulisan teks khutbah rasmi Negeri Perlis, selain penglibatan aktif dalam usaha memperkasakan dakwah di Negeri Perlis.
Jabatan Mufti Negeri Perlis merakamkan ucapan tahniah atas pengiktirafan ini dan berharap ia menjadi pendorong kepada penjawat awam khususnya warga jabatan untuk terus menyumbang khidmat terbaik kepada agama dan negeri.