KANGAR, 25 Julai 2025 – Warga Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menyertai Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis Bilangan 6 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Negeri Perlis, hari ini.
Perhimpunan ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli, Menteri Besar Perlis. Dalam ucapannya, YAB Menteri Besar menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perlis menyambut baik inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini sebagai langkah prihatin terhadap kesejahteraan rakyat. Menurut beliau, usaha Kerajaan Persekutuan dalam memperkenalkan pelbagai insentif dan bantuan merupakan satu penghargaan besar kepada rakyat Malaysia dan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pihak.
Dalam majlis berkenaan turut diadakan penyampaian tadabbur al-Quran disampaikan oleh YBhg. Ustaz Muhammad Haafizudin bin Abirerah, Pegawai Hal Ehwal Islam dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), yang membawa penghayatan daripada Surah asy-Syu‘ara. Kandungan tadabbur menyentuh mesej dakwah para nabi terdahulu serta cabaran mereka dalam menyampaikan kebenaran, sebagai iktibar dan motivasi buat warga pentadbiran negeri dalam menjalankan amanah.
Antara pengisian menarik dalam perhimpunan kali ini ialah majlis simbolik penukaran topi keledar melibatkan kakitangan terpilih. Selain itu, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada kakitangan yang telah mewakili negeri dalam kejohanan Sukan MASSAK peringkat kebangsaan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), serta Ketua-ketua Jabatan Negeri Perlis.
Penyertaan aktif warga Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam mendukung dasar serta agenda pembangunan negeri, selain memperkukuh semangat kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan.