Kangar, 11 Julai 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan umat Islam di negeri ini berhubung penyalahgunaan bekalan air. Melalui khutbah Jumaat bertajuk “Islam Melarang Penyalahgunaan Bekalan Air”, jabatan ini mengetengahkan panduan Islam dalam penggunaan air secara bertanggungjawab dan beradab.
Khutbah tersebut menekankan pentingnya menggunakan air secara sederhana dan mengelakkan pembaziran. Selain itu, khatib turut menyinggung perbuatan tidak bertanggungjawab seperti menyambung paip secara haram di kawasan rumah, kebun, bengkel, mahupun kilang, dengan tujuan mengelakkan bayaran dan mengaut keuntungan secara tidak sah.
Khatib juga menyeru umat Islam agar segera melaporkan sebarang kebocoran air. Kebocoran yang tidak ditangani boleh menyebabkan pembaziran ribuan liter air setiap hari, yang sebaliknya mampu menampung keperluan puluhan rumah. Oleh itu, melaporkan kerosakan merupakan sebahagian daripada amanah, tanggungjawab sosial, dan kewajipan agama.
Di akhir khutbah, khatib menyeru semua pengguna agar memastikan bayaran bil air diselesaikan pada masa yang ditetapkan. Bayaran bil adalah sebahagian daripada perjanjian antara pengguna dan pembekal air. Kegagalan memenuhi tanggungjawab ini boleh membebankan sistem penyediaan air, menjejaskan kelancaran operasi, dan menjejaskan hak pengguna lain yang memerlukan bekalan air yang konsisten.