ARAU: Sumbangan besar dalam bidang keilmuan dan pemikiran Islam di negara ini melayakkan bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis, Prof. Emeritus Datuk Dr. Johari Mat diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis Tahun 1447 Hijrah.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena Majlis Maal Hijrah peringkat negeri ini di Dewan Auditorium Pulapen, Pusat Koreksional di sini hari ini.
Penganugerahan tersebut membolehkan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) Kompleks Kota Darulnaim itu menerima wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan baginda.
Berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Maal Hijrah kepada Raja Datuk Azwane Raja Ariff yang banyak menabur bakti di negeri ini selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan MAIPs dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Penganugerahan itu membolehkan beliau menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil penghargaan.
Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Jaaizah Maal Hijrah kepada Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA), Dr. Mohmad Asari Daud yang membolehkan beliau menerima wang tunai RM2,500, sijil penghargaan dan plak
Majlis pada tahun ini mengangkat tema Membangun Ummah Madani Bestari iaitu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh nilai-nilai Islam, memperkasakan pembangunan ummah dan menyemarakkan semangat hijrah dalam kalangan masyarakat.
Sebanyak 31 anugerah telah disampaikan kepada penerima yang cemerlang dalam pelbagai kategori antaranya seperti Anugerah Pengurusan Hal Ehwal Islam, Anugerah Khas Maal Hijrah, Anugerah Didik Maal Hijrah dan Anugerah Masjid Terbaik.
Sementara itu, Yang Amat Berhormat Tuan Haji Mohd Shukri bin Ramli Menteri Besar Perlis dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membawa hala tuju negeri ke arah masyarakat yang berilmu dan berpegang teguh kepada ajaran agama.
Katanya, ia selaras dengan arahan Allah SWT kepada pihak pemerintah yang memegang amanah pengurusan pemerintahan di atas muka bumi ini supaya menyeru kepada solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara munkar.
“Para pimpinan kerajaan negeri, pengurusan tertinggi perkhidmatan awam negeri dan penjawat awam serta seluruh masyarakat Muslim mestilah menjadikan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan hidup,” katanya.
Sumber : UTUSAN