Kangar, 20 Jun 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis pada minggu ini telah mengeluarkan teks Khutbah Jumaat bertajuk "Mengenal Allah Melalui Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya" untuk dibacakan di semua masjid di seluruh Negeri Perlis.
Khutbah ini menekankan beberapa cara untuk mengenal Allah SWT, antaranya ialah dengan memahami, menghayati, dan meyakini setiap nama-Nya. Setiap nama Allah yang disebutkan dalam al-Qur’an dan hadis-hadis sahih mengandungi makna yang agung serta menggambarkan kesempurnaan sifat-sifat-Nya yang tiada bandingan.
Khatib turut menegaskan kewajipan setiap umat Islam untuk mengenali Allah SWT. Hal ini boleh dilakukan melalui penghayatan terhadap Asmaul Husna, pemerhatian terhadap keagungan ciptaan-Nya di alam semesta, penghayatan terhadap kalam-Nya (al-Qur’an), serta pengenalan terhadap sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna.
Khutbah turut mengingatkan bahawa sumber dalam memahami ilmu berkaitan nama dan sifat Allah hendaklah berasaskan wahyu yang sahih, iaitu al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Umat Islam ditegah daripada bergantung kepada mimpi, ilham, atau dakwaan sesiapa pun mengenai perkara tersebut, selain daripada apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Selain itu, khatib juga menyeru agar umat Islam beradab dalam berdoa dengan menyebut serta memuji Allah SWT menggunakan nama-nama-Nya yang indah dan agung, sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.