KUALA LUMPUR, 14 Mac – DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis, telah berkenan menyempurnakan pelancaran buku Tadabbur Surah Al-Fatihah, terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan tajaan penuh daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Majlis pelancaran ini berlangsung dalam suasana penuh keberkatan di Shangri-La Hotel, Kuala Lumpur, bersempena Majlis Iftar DYTM Tuanku Raja Muda Perlis bersama Jawatankuasa-jawatankuasa di bawah MAIPs.
Buku Tadabbur Surah Al-Fatihah merupakan hasil karya YBhg. Prof. Madya Dr. Azrul Azlen B. Abd Hamid dan YBhg. Dr. Mohd Yusoff Arbain. Ia mengupas secara mendalam makna dan pengajaran yang terkandung dalam Surah Al-Fatihah, bagi membantu pembaca memahami serta menghayati intipati surah ini dalam kehidupan seharian.
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan MAIPs, ahli-ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs serta para jemputan khas. Pelancaran buku ini diharapkan dapat menyemarakkan usaha memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap ajaran Islam melalui tadabbur Al-Quran.