Kuala Perlis, 28 Februari 2025 — Majlis Perasmian Rukyah Hilal Ramadan Tahun 1446H/2025M anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menyaksikan satu persembahan istimewa dalam bentuk deklamasi sajak, syair, dan puisi bertemakan Ramadan. Acara yang berlangsung di Menara Pandang, Masjid Al-Hussein, Kuala Perlis ini bertujuan menyemarakkan keindahan bulan suci Ramadan dengan sentuhan seni dan sastera Islam.
Para pendeklamasi yang mewarnai pentas deklamasi ialah Saudara Maman Faturohman dan Tri Endi Ardiansyah dari UMAM, serta Salman Fadzri Zaharin, Basariah Bakar, dan Muhd Nurfiqri Mohd Hajar dari UiTM. Masing-masing menyampaikan karya yang sarat dengan mesej keinsafan, keagungan Ramadan, serta seruan ke arah ketakwaan dan penghayatan ibadah sepanjang bulan penuh keberkatan ini. Selain itu, mereka turut menyampaikan mesej berkaitan tragedi yang berlaku di bumi Palestin.
Majlis ini bukan sahaja bertujuan menyaksikan fenomena rukyah hilal Ramadan, tetapi juga menjadi wadah untuk menghayati nilai-nilai Islam melalui seni dan budaya. Usaha ini selari dengan matlamat memartabatkan keindahan sastera Islam dalam masyarakat.
Penganjuran acara ini diharapkan dapat memperkukuh penghayatan Ramadan serta memupuk kecintaan terhadap keindahan bahasa dalam kalangan umat Islam.