Kangar, 7 Februari 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam khutbah Jumaat hari ini mengetengahkan isu berkaitan nikmat alam kubur. Alam kubur atau alam barzakh adalah suatu alam ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun umat Islam wajib meyakini kewujudannya dengan penuh keimanan, sebagaimana yang dikhabarkan dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih.
Khutbah turut menjelaskan bahawa antara nikmat yang dikurniakan kepada orang beriman di alam kubur ialah kubur mereka akan diterangi cahaya dan dilapangkan. Selain itu, terdapat hadis yang menyebut bahawa roh seseorang yang telah meninggal dunia akan diperlihatkan tempatnya di akhirat setiap pagi dan petang. Jika dia seorang mukmin, dia akan melihat tempatnya di syurga, yang membawa kegembiraan dan ketenangan kepadanya meskipun masih berada di alam barzakh. Sebaliknya, jika dia seorang yang ingkar, dia akan diperlihatkan tempatnya di neraka, yang menjadi penyiksaan baginya sebelum menerima azab yang lebih dahsyat di akhirat kelak.
Selain itu, orang yang beriman juga akan memperoleh wangian dan haruman dari syurga serta kuburnya diluaskan sejauh mata memandang.
Khatib turut menyeru jemaah agar memastikan setiap langkah yang diambil di dunia ini adalah langkah menuju keberkatan dan keredaan Allah SWT. Sesungguhnya, kehidupan di alam kubur adalah permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai medan persiapan dengan memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi segala larangan-Nya agar dapat menikmati nikmat di alam barzakh sebelum menuju ke syurga.