Perlis, 26 Januari 2025 – Perlis International Sunnah Convention 2025 menjadi saksi kepada pelancaran Perkampungan Sunnah Siri ke-10 yang akan di adakan pada 9 hingga 11 Mei 2025 bertempat di Masjid Alwi, Kangar, Perlis.
Pelancaran ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Majlis ini menandakan kesinambungan usaha Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri Perlis dalam mengangkat kefahaman Islam berteraskan sunnah Rasulullah SAW.
Dalam titah perasmiannya DYMM Raja Perlis menekankan kepentingan menerapkan nilai-nilai sunnah dalam kehidupan seharian sebagai landasan membentuk masyarakat yang harmoni dan berakhlak mulia. Baginda juga mengajak seluruh rakyat untuk mengambil manfaat daripada program-program ilmiah yang dianjurkan di Negeri Perlis.
Perkampungan Sunnah Siri ke-10 kali ini menjanjikan pelbagai pengisian menarik termasuk kuliah ilmu, forum perdana, serta sesi diskusi bersama tokoh-tokoh ulama dari dalam dan luar negara. Acara tahunan ini bukan sahaja menarik minat masyarakat setempat, malah turut menjadi tumpuan para pencinta ilmu dari pelbagai negara yang ingin mendalami ajaran Islam berdasarkan sumber yang autentik.
Jabatan Mufti Negeri Perlis selaku penganjur utama dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis, berharap agar penganjuran kali ini dapat terus memperkukuhkan fahaman Islam berasaskan sunnah serta menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan umat Islam. Dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan dan masyarakat, Perkampungan Sunnah di Perlis terus menjadi satu mercu tanda penting dalam perkembangan ilmu dan dakwah Islamiah di rantau ini.
Semoga Perkampungan Sunnah Siri ke-10 ini memberi impak besar kepada masyarakat dalam memahami dan mengamalkan Islam dengan lebih sempurna, berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan semangat kesatuan dan keilmuan, diharapkan program ini akan terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.