Kangar, 31 Januari 2025 – Jabatan Mufti Negeri Perlis menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga lisan dan menghindari ucapan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat. Dalam khutbah Jumaat yang bertajuk Memelihara Lisan, khatib menekankan kepentingan berkata baik dan menjauhkan diri daripada fitnah serta perkataan yang sia-sia.
Khutbah tersebut menjelaskan bahawa lisan merupakan salah satu nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Jika digunakan dengan baik, ia menjadi sumber pahala, namun jika disalahgunakan, ia boleh mendatangkan dosa besar.
Firman Allah SWT dalam Surah Qaf, ayat 18, mengingatkan bahawa setiap perkataan yang diucapkan akan dicatat oleh malaikat. Oleh itu, setiap individu perlu berhati-hati dalam pertuturan dan memastikan bahawa kata-kata yang diucapkan membawa kebaikan dan manfaat kepada diri sendiri serta orang lain.
Rasulullah SAW turut menegaskan kepentingan menjaga lisan melalui sabda baginda "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."(Hadis Riwayat Al-Bukhari Dan Muslim).
Hadis ini menjadi peringatan kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada dalam berbicara dan mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan keburukan.
Khutbah ini turut menyentuh beberapa bentuk penyalahgunaan lisan yang sering berlaku dalam masyarakat seperti mengumpat dan memfitnah, yang boleh merosakkan maruah seseorang dan menimbulkan permusuhan.
Selain itu, berkata-kata kesat dan memaki hamun juga perlu dijauhi kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dalam hubungan persaudaraan. Penyebaran berita palsu dalam era teknologi maklumat juga perlu dielakkan kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat.
Sebagai langkah menjaga lisan, khutbah ini menekankan kepentingan bercakap hanya perkara yang benar dan bermanfaat, mengelakkan daripada berbicara tanpa ilmu, memperbanyakkan zikir dan bacaan Al-Quran serta bergaul dengan individu yang berbudi bahasa. Dengan cara ini, seseorang itu dapat mengawal lisannya dan menghindari pertuturan yang sia-sia atau mendatangkan dosa.
Jabatan Mufti Negeri Perlis mengajak seluruh umat Islam agar mengambil pengajaran daripada khutbah ini dan sentiasa berhati-hati dalam pertuturan. Setiap perkataan yang diucapkan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT, justeru adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu untuk menggunakan lisannya dalam menyebarkan kebaikan dan mengelakkan keburukan. Semoga dengan penghayatan khutbah ini, umat Islam dapat menjadi masyarakat yang harmoni dan berakhlak mulia serta memperoleh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.