KANGAR, 26 JANUARI 2025 – Majlis Perasmian Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2025 berlangsung dengan penuh gemilang pada hari ketiga program ini di Dewan 2020, Kangar, Perlis. Majlis ini telah disempurnakan oleh DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Negeri Perlis, YBhg; Exco (Agama) Negeri Perlis, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin utama negeri.
Program PISC 2025, yang bermula pada 24 Januari, berjaya menghimpunkan 22 tokoh ulama dan cendekiawan Islam terkemuka dunia. Dengan kehadiran lebih 10,000 peserta dari pelbagai negara seperti Uzbekistan, Singapura, Indonesia, United Kingdom, dan lain-lain, acara ini menjadi platform penting dalam menyebarkan kefahaman sunnah dan memperkukuhkan perpaduan umat Islam.
Dalam titah perasmian baginda, DYMM Raja Perlis menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah atas usaha penganjur dalam menjadikan PISC sebagai acara antarabangsa yang memperkukuh imej Perlis sebagai pusat ilmu sunnah. Baginda menekankan pentingnya ilmu yang diperoleh sepanjang program ini digunakan untuk memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Sementara itu, Mufti Negeri Perlis, Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, dalam ucapan alu-aluannya, menyeru para peserta untuk menjadikan sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua urusetia serta agensi yang membantu dalam menjayakan konvensyen kali ini. Sahibus Samahah Dato' Mufti turut menzahir penghargaan yang tidak terhingga kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis selaku penaja utama.
Program PISC 2025 menawarkan pelbagai sesi ilmiah, termasuk forum, ceramah, dan perbincangan yang membincangkan isu-isu kontemporari dari perspektif sunnah. Kehadiran ulama-ulama terkemuka dunia menjadikan acara ini lebih bermakna dan berimpak tinggi.
Dengan penganjuran PISC 2025, Perlis terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat ilmu yang dihormati, menyumbang kepada pengukuhan ajaran sunnah di peringkat global.