KANGAR, 24 Januari 2025 – Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2025 membuka tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Dewan 2025 Convention Center, menyaksikan kehadiran para ulama tersohor dunia serta delegasi dari seluruh pelosok dunia. Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang diiringi oleh anakanda Baginda, Yang Teramat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, bagi mengalu-alukan kedatangan para delegasi dan peserta.
Slot pembukaan hari pertama ini dipimpin oleh nama-nama besar dalam dunia dakwah Islam, termasuk Dr. Zakir Naik, Dr. Bilal Philips, Dr. Mohammad Salah, dan Shaikh Saeed Rageah. Sesi mereka mendapat sambutan luar biasa dengan ribuan peserta memenuhi dewan untuk mendengar perkongsian ilmu bertemakan sunnah dan perpaduan ummah.
Baginda Tuanku Raja Muda dalam titah baginda menzahirkan penghargaan atas kehadiran ulama dan peserta dari pelbagai negara serta mengharapkan agar PISC 2025 menjadi platform untuk memperkukuh penghayatan sunnah dan meningkatkan kefahaman Islam di peringkat global. Dalam majlis ini juga, Baginda turut melancarkan sumbangan amal bagi menyokong penubuhan University Cambodia of Management & Technology, sebuah institusi yang diharapkan dapat menjadi pusat kecemerlangan pendidikan Islam di rantau Asia Tenggara.
Perlis International Sunnah Convention 2025 yang berlangsung sehingga 27 Januari ini menawarkan pelbagai slot menarik termasuk forum, bengkel, dan ceramah, menjadikannya medan ilmu dan pertemuan penting untuk umat Islam. Para peserta turut mengambil peluang berinteraksi dengan tokoh-tokoh ulama, menjadikan acara ini sebagai titik penyatuan pelbagai latar belakang dan budaya.
PISC 2025 bukan sahaja menjadi medium untuk menyebarluaskan kefahaman sunnah, tetapi turut mempromosikan Perlis sebagai destinasi ilmu dan perpaduan ummah di peringkat antarabangsa.