Kangar, 20 Disember 2024 – Khutbah Jumaat Negeri Perlis hari ini bertemakan "Islam Membenci Kezaliman" dengan menekankan prinsip keadilan yang menjadi tunjang ajaran Islam serta kecaman tegas terhadap segala bentuk kezaliman. Khubah minggu ini menegaskan bahawa setiap bentuk kezaliman adalah perbuatan yang amat dicela dalam ajaran Islam dan bertentangan dengan prinsip-prinsip keadilan dan kemanusiaan yang diajarkan oleh Allah S.W.T. Khutbah tersebut menggariskan bahawa kezaliman bukan sahaja membawa kemusnahan kepada individu, malah memporak-perandakan masyarakat dan negara.
Khutbah ini turut menyentuh situasi konflik di Syria yang berlarutan lebih sedekad. Kezaliman rejim terhadap rakyat yang tidak berdosa telah menyebabkan jutaan nyawa melayang, kemusnahan infrastruktur, dan gelombang pelarian yang besar. Anak-anak kecil menjadi yatim piatu, manakala ramai terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan di kem pelarian. Keadaan ini menjadi bukti nyata bagaimana kezaliman mampu menghancurkan keamanan dan nilai kemanusiaan.
Khatib turut menegaskan bahawa umat Islam wajib memainkan peranan dalam menentang kezaliman, bukan sahaja melalui doa tetapi juga dengan tindakan yang mampu meringankan penderitaan mangsa. Umat Islam diseru untuk terus memberi sokongan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas, khususnya saudara-saudara seagama di Syria dan wilayah konflik lain.
Khatib turut mnyeru agar setiap umat Islam menanamkan tekad dalam diri untuk menjadi pejuang keadilan, penyebar kasih sayang, dan hamba yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Sebagai umat Islam, kita wajib menjauhi segala bentuk kezaliman, walau sekecil mana sekalipun. Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu golongan yang dizalimi dengan doa, sokongan, dan apa jua kemampuan yang kita miliki.
Khutbah ini diakhiri dengan peringatan bahawa keadilan adalah asas keamanan dan keharmonian. Menentang kezaliman adalah tanggungjawab setiap insan, sejajar dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.