Bukit Keteri, 18 Disember 2024 – Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri, telah menganjurkan Kuliah Maghrib Khas yang menampilkan SS Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, sebagai penceramah utama.
Kuliah khas ini menarik perhatian ramai jemaah untuk turut sama mendengar pengisian ilmu berkenaan isu-isu semasa dan pemahaman Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ceramahnya, SS Dr. Mohd Asri menekankan kepentingan hidup berlandaskan ajaran Islam yang sebenar, serta menyeru masyarakat agar terus memperkukuh hubungan dengan Allah melalui ilmu, amal, dan ibadah.
Beliau turut mengupas topik berkaitan cabaran semasa umat Islam, memberikan panduan praktikal untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kehadiran Mufti Negeri Perlis di masjid ini juga disambut baik oleh masyarakat setempat, yang melihat program ini sebagai peluang untuk mendalami ilmu agama secara langsung daripada seorang tokoh ilmuan.
Jabatan Mufti Negeri Perlis berhasrat untuk terus menganjurkan program seumpama ini di seluruh negeri bagi memupuk kefahaman Islam yang sebenar dalam kalangan masyarakat. Kuliah ini adalah sebahagian daripada usaha jabatan untuk memperkasakan syiar Islam dan menyemarakkan budaya ilmu di Perlis.