• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Dosa Yang Menggelapkan Hati: Jalan Kembali kepada Allah

Dosa Yang Menggelapkan Hati: Jalan Kembali kepada Allah

Kangar, 6 Disember 2024 – Pada Jumaat ini, khutbah di masjid-masjid seluruh Negeri Perlis mengangkat tajuk “Mengenali Dosa dan Cara Bertaubat”.  Khutbah ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umat Islam tentang hakikat dosa serta memberikan panduan tentang cara untuk kembali kepada Allah SWT melalui taubat yang sebenar.

Khutbah dimulakan dengan penjelasan mengenai maksud dosa, iaitu segala perbuatan atau kelakuan yang dilarang oleh Islam dan dianggap sebagai pelanggaran terhadap perintah Allah SWT. Khatib menjelaskan bahawa dosa dapat merosakkan hubungan kita dengan Allah dan menjadi penghalang kepada rahmat-Nya. Dosa dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu dosa besar dan dosa kecil. Walaupun kelihatan kecil, dosa yang tidak diinsafi boleh menggelapkan hati, menghalang keberkatan, serta menjauhkan kita dari redha Allah.

Khatib turut mengingatkan bahawa dosa tidak hanya memberi kesan kepada diri individu, tetapi juga kepada masyarakat, hubungan dengan keluarga, dan bahkan keberkatan dalam rezeki. Antara dosa yang sering dilupakan namun amat serius dalam Islam adalah meninggalkan solat, berbohong, memutuskan silaturahim, serta terlibat dalam riba dan rasuah.

Dalam khutbah ini, beberapa panduan penting diberikan kepada umat Islam yang mungkin sedang terlibat dalam dosa. Khatib menekankan bahawa untuk memperoleh redha Allah, kita harus segera beristighfar dan memohon keampunanNya. Selain itu, solat sunat taubat adalah salah satu panduan yang dianjurkan sebagai tanda keinsafan dan permohonan rahmat Allah. Taubat yang sebenar adalah dengan menyesali perbuatan dosa dengan sepenuh hati, meninggalkan dosa tersebut, dan berazam untuk tidak mengulanginya di masa depan.

Khatib juga mengingatkan agar kita sentiasa menjaga wudhuk, kerana ia merupakan salah satu cara untuk menghapuskan dosa-dosa kecil. Setiap titisan air yang jatuh dari anggota wudhuk akan menggugurkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Selain itu, menunaikan solat lima waktu dengan khusyuk adalah amalan yang dapat mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam dosa dan sekaligus menghapuskan dosa-dosa kecil.

Satu lagi pesan penting yang disampaikan ialah agar umat Islam terus istiqomah dan memperbanyakkan amalan soleh. Antaranya ialah bersedekah, membaca al-Quran, dan berbuat baik kepada sesama manusia. Amalan-amalan ini bukan sahaja akan mengelakkan kita dari terus melakukan dosa, tetapi juga memperkuatkan hubungan kita dengan Allah. Khatib turut berpesan agar kita menghindari persekitaran yang boleh mendorong kepada maksiat dan dosa.

Khutbah ini diakhiri dengan harapan agar ia memberi inspirasi kepada semua jemaah untuk terus mendalami ilmu agama dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Semoga Allah SWT memudahkan kita untuk mengenali dosa-dosa kita, memberi taufik dan hidayah-Nya, serta mengurniakan kekuatan untuk bertaubat dengan ikhlas. Semoga kita menjadi hamba Allah yang lebih baik, diberkati dan diredhai oleh-Nya.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 159
Semalam 743
Minggu Ini 902
Bulan Ini 16287

Keseluruhan 3322345

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  17/10/2025