Kangar, Perlis – Khutbah Jumaat di seluruh masjid di Negeri Perlis hari ini mengangkat tema "Islam Mengajar Kebijaksanaan", menyeru umat Islam untuk mengamalkan kebijaksanaan dalam kehidupan seharian, baik dalam aspek ibadah, muamalat, mahupun dalam menyelesaikan isu-isu sosial yang kompleks.
Khutbah ini menekankan bahawa Islam adalah agama yang menuntut umatnya bertindak dengan hikmah dalam apa jua keadaan. Kebijaksanaan, atau hikmah, bukan sekadar bererti kecerdikan, tetapi melibatkan kemampuan memahami sesuatu secara mendalam dan membuat keputusan yang membawa manfaat serta mengelakkan kemudaratan.
Khutbah minggu ini turut menggariskan pentingnya kebijaksanaan dalam menangani cabaran kehidupan, termasuk dalam menilai maklumat yang diterima dan memahami hukum agama. Umat Islam diseru untuk mendalami ilmu pengetahuan agar tidak mudah dipengaruhi oleh mereka yang menyalahgunakan nama agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.
Khutbah juga menyentuh tentang fenomena eksploitasi agama, yang sering berlaku apabila individu atau kumpulan tertentu mempergunakan ayat-ayat al-Quran atau hadis untuk menyokong agenda yang bercanggah dengan prinsip Islam. Golongan "penunggang agama" atau "scammer agama" yang menggunakan nama Islam untuk menipu, memperdaya, dan meraih keuntungan Tindakan seperti ini bukan sahaja menyesatkan umat, tetapi juga mencemarkan kesucian agama.
Khutbah ini turut menggariskan beberapa panduan praktikal kepada umat Islam untuk memupuk kebijaksanaan dalam kehidupan seperti mencari ilmu daripada sumber yang sahih.
Khatib menyeru agar masyarakat tidak menerima sesuatu secara membuta tuli, tetapi untuk menyelidiki dan menilai kesahihan sesuatu perkara. Kebijaksanaan memerlukan seseorang berlaku adil dalam semua tindakan, tidak berat sebelah, dan memastikan setiap keputusan membawa manfaat kepada semua pihak.
Umat Islam disarankan untuk merujuk institusi yang berautoriti dan berwibawa atau yang dipercayai dalam komuniti untuk mendapatkan nasihat dan pandangan yang tepat.
Khutbah ini diakhiri dengan menyeru umat Islam untuk menjadikan kebijaksanaan sebagai asas dalam segala tindakan, baik dalam aspek kehidupan peribadi mahupun masyarakat. Dengan kebijaksanaan, umat Islam dapat menangani cabaran dunia moden sambil mengekalkan prinsip dan nilai Islam yang sebenar.
Semoga mesej khutbah ini memberikan pencerahan kepada umat Islam di Negeri Perlis untuk terus berusaha menjadi masyarakat yang harmoni, berilmu, dan diberkati.