BEBERAPA PANDUAN UMUM UNTUK KITA JADIKAN BULAN RAMADAN SEBAGAI BULAN MEMBACA AL-QURAN
(Oleh : Ustazah Nor Faezah Binti Hassan(Pegawai Isnad)
Bulan Ramadhan bulan yang diturunkan di dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 185:
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ
(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur´an sebagai petunjuk bagi manusia.
Oleh itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita di bulan yang mulia ini. Berikut terdapat beberapa panduan umum untuk kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan membaca al-Quran:
1. Mencari masa untuk duduk bersama ahli keluarga, teman dan jiran bertadarrus dan saling memperbetulkan bacaan. Berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari:
Ertinya: “Yang terbaik dikalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.
2. Tidak malu dan mudah berputus asa untuk mula membaca al-Quran sekalipun merangkak cara bacaannya.
Didalam hadith riwayat Imam Muslim Baginda SAW bersabda ertinya: “Orang yang membaca Al-Qur’an sedangkan dia mahir bacaannya, akan mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi dia tidak mahir, membacanya tergagap-gagap dan agak berat lidahnya (kerana belum lancar), dia akan mendapat dua pahala.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
3. Membaca ayat al-Quran bukan sahaja dengan menjaga adab-adabnya, namun berusaha untuk memahami (tadabbur) dan merenung diri dengan khuyuk setiap ayat yang dibaca.
Allah SWT berfirman Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi AlQuran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”. (QS Muhammad:24)
4. Tidak gopoh membaca al-Quran hingga mengabaikan hukum hakam bacaan serta meneruskan kebiasaan membaca al-Quran sekalipun setelah berakhirnya bulan Ramadhan.
5. Istiqamah melakukan ibadah secara sederhana lebih disukai menurut sunnah daripada melakukan dengan banyak sekaligus yang akhirnya ditinggalkan kerana jemu dan penat.
Istiqamah merupakan kunci amalan dicintai Allah. Daripada Aisyah RA meriwayatkan, sabda Nabi SAW: “Amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang berterusan, walaupun ianya dikerjakan dengan kadar yang sedikit”. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Dari hadis ini, dapat kita fahami bahawa berterusan di dalam beribadah, adalah lebih dicintai Allah, dari amalan yang dibuat dengan kadar yang banyak, namun dikerjakan sekali-sekala.
Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan di bulan ramadan yang mulia ini dengan merebut peluang yang ada agar kita dapat memanfaatkan masa-masa yang terluang dengan membaca al-quran.