Sunnah Yang Dilupakan Di Sebalik Gaya Hidup Sihat
Sunnah Rasulullah SAW merupakan panduan kehidupan yang sangat bernilai bagi setiap Muslim. Sunnah bukan sahaja berkaitan dengan ibadah khusus seperti solat, puasa dan zikir, bahkan turut merangkumi adab, akhlak, cara berinteraksi dengan manusia serta pelbagai aspek kehidupan seharian. Justeru, penghayatan terhadap sunnah tidak seharusnya terbatas kepada amalan-amalan yang masyhur sahaja, bahkan merangkumi sunnah-sunnah yang mungkin kelihatan kecil dan sederhana pada pandangan manusia.
Namun demikian, seiring dengan perubahan zaman dan gaya hidup masyarakat, terdapat sebahagian sunnah yang semakin kurang diberi perhatian. Ada antaranya yang ditinggalkan kerana dianggap sebagai perkara kecil, tidak penting atau tidak lagi relevan dengan kehidupan moden. Hakikatnya, setiap sunnah Rasulullah SAW mempunyai nilai dan hikmah tersendiri yang dapat memberikan pendidikan kepada jiwa serta membentuk kehidupan seorang Muslim agar sentiasa berpandukan petunjuk Baginda SAW.
Antara sunnah yang mungkin kurang diketahui dan diberi perhatian ialah sesekali berjalan tanpa alas kaki. Dalam kehidupan masyarakat hari ini, amalan berkaki ayam sering dikaitkan dengan gaya hidup sihat. Sebahagian masyarakat misalnya mengamalkan aktiviti grounding atau earthing dengan berjalan tanpa alas kaki di persisiran pantai, kawasan rekreasi atau taman-taman awam. Walaupun amalan tersebut lazimnya dilakukan atas pertimbangan kesihatan dan kecergasan, mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa sesekali berjalan tanpa alas kaki turut mempunyai sandaran daripada sunnah Rasulullah SAW.
Ubaidillah bin Buraydah RA menyebutkan bahawa seorang sahabat Nabi SAW mengembara ke Mesir untuk bertemu dengan Fudalah bin Ubayd RA. Apabila sahabat tersebut melihat Fudalah dalam keadaan sederhana dan tidak bermewah-mewahan, beliau bertanya:
فما لي أراكَ شعِثاَ وأنتَ أميرُ الأرضِ؟ قال: إن رسول الله ﷺ كان ينهانا عن كثيرٍ من الإرفَاهِ، قال: فما لي لا أرى عليك حِذَاءً؟ قال: كان النبيُّ ﷺ يأمرُنا أن نحتفيَ أحياناً
“Mengapa aku melihatmu dalam keadaan kusut, sedangkan engkau ialah pemerintah negeri ini?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang kami daripada banyak bersenang-senang dan bermewah-mewah.” Beliau bertanya lagi, “Mengapa aku tidak melihat engkau memakai kasut?” Beliau menjawab, “Nabi SAW memerintahkan kami agar sesekali berjalan tanpa alas kaki”.
(Riwayat Abu Dawud)
Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa sunnah berjalan tanpa alas kaki ini bukanlah suatu amalan yang dilakukan secara berterusan sehingga menjadi kelaziman dalam kehidupan. Rasulullah SAW menganjurkannya pada sesekali waktu sebagai bentuk latihan jiwa untuk membentuk sifat sederhana, menanam sikap tawaduk, mematahkan keegoan diri serta membiasakan seseorang dengan keadaan yang kurang selesa. Hal ini menunjukkan bahawa tujuan utama sunnah tersebut bukanlah semata-mata untuk mendapatkan keselesaan atau manfaat fizikal, tetapi turut berkait rapat dengan pembentukan dan pendidikan jiwa.
Oleh yang demikian, di samping manfaat kesihatan dan kecergasan diri yang mungkin diperoleh melalui aktiviti grounding atau earthing, amalan berjalan tanpa alas kaki juga boleh menghidupkan sunnah Rasulullah SAW apabila dilakukan dengan niat mengikuti petunjuk Baginda SAW. Dengan niat tersebut, aktiviti yang pada asalnya merupakan suatu bentuk rekreasi atau gaya hidup sihat dapat menjadi amalan yang bernilai dan memperoleh pahala.
Di samping sunnah berjalan tanpa alas kaki, terdapat satu lagi sunnah yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat, iaitu mengungkapkan lafaz takbir ketika mendaki atau berada di tempat tinggi dan lafaz tasbih ketika menuruni sesuatu tempat. Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa:
كُنَّا إذا صَعِدْنا كَبَّرْنَا، وَإِذا نَزَلْنا سَبَّحْنَا
“Kami apabila mendaki, kami bertakbir; dan apabila menuruni sesuatu tempat, kami bertasbih.”
(Riwayat al-Bukhari)
Dalam konteks masyarakat hari ini, aktiviti hiking ke bukit serta gunung semakin mendapat tempat sebagai salah satu bentuk rekreasi dan gaya hidup sihat. Aktiviti ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada kecergasan fizikal, bahkan boleh dijadikan ruang untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Ketika kaki melangkah mendaki cerun dan semakin tinggi menuju ke puncak, kita disunatkan mengungkapkan “Allahu Akbar”, manakala ketika menuruni kawasan yang tinggi, kita mengucapkan “Subhanallah”.
Sunnah ini pada hakikatnya mendidik seseorang agar tidak menjadikan sesuatu aktiviti semata-mata latihan fizikal, tetapi turut menghubungkannya dengan penghayatan terhadap kebesaran Allah SWT. Ketika mendaki, lafaz “Allahu Akbar” mengingatkan kita bahawa setinggi mana pun tempat yang mampu dicapai oleh manusia, Allah SWT tetap Maha Besar dan Maha Agung. Manakala ketika menuruni sesuatu tempat, lafaz “Subhanallah” mengingatkan kita bahawa Allah SWT Maha Suci daripada segala kekurangan dan sentiasa memiliki kesempurnaan mutlak.
Oleh itu, disaat menikmati keindahan alam semula jadi ketika hiking, janganlah kita hanya mengagumi keindahan gunung-ganang, hutan dan panorama dari puncak, tetapi pada masa yang sama melupakan Pencipta segala keindahan tersebut. Jadikan setiap langkah pendakian sebagai kesempatan untuk membasahkan lidah dengan zikir dan menyuburkan hati dengan mengingati Allah SWT.
Lebih menarik lagi, sunnah ini menjadikan aktiviti yang pada asalnya bersifat rekreasi mempunyai nilai ibadah. Pendakian yang dilakukan dengan niat menjaga kesihatan dan menikmati keindahan alam boleh disertai dengan niat menghidupkan sunnah Rasulullah SAW. Dengan demikian, setiap langkah bukan sahaja memberi manfaat kepada tubuh badan, bahkan menjadi ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.







