Ta’aruf Yang Syar’ie : Mencari Pasangan, Memelihara Keberkatan
Setiap orang yang ingin berkahwin pasti mempunyai harapan untuk membina rumah tangga yang bahagia, tenang dan berkekalan. Namun sebelum sampai ke alam perkahwinan, seseorang perlu melalui satu fasa penting, iaitu mengenali bakal pasangan hidup.
Dalam Islam, proses ini dikenali sebagai ta’aruf. Tapi sebahagian masyarakat hari ini menyangka ta’aruf hanyalah istilah Islam bagi budaya bercinta. Hakikatnya, ta’aruf yang syarie mempunyai tujuan dan kaedah yang berbeza.
Apa itu ta’aruf?
Secara mudah, ta’aruf ialah proses mengenali bakal pasangan dengan tujuan yang jelas iaitu menuju perkahwinan. Ia bukan hubungan tanpa arah yang berlarutan bertahun-tahun tanpa kepastian. Sebaliknya, ta’aruf bertujuan membantu kedua-dua pihak menilai keserasian dari sudut agama, akhlak, tanggungjawab, pemikiran, latar belakang keluarga dan perancangan masa hadapan. Allah SWT berfirman:
﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ٢١﴾
Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan daripada jenis kamu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu kasih sayang dan rahmat.”
(Surah al-Rum: 21)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa tujuan perkahwinan bukan sekadar memenuhi keinginan perasaan, tetapi untuk membina ketenangan, kasih sayang dan rahmat dalam kehidupan.
Oleh itu, sangat penting untuk setiap pasangan yang ingin membina rumah tangga yang bahagia untuk bertaaruf antara satu sama lain. Hal ini kerana, kebanyakan pasangan yang berkahwin hanya tertarik kepada rupa paras atau emosi semata-mata. Namun selepas berkahwin, mereka mula menyedari banyak perkara penting yang tidak pernah dibincangkan sebelum itu. Sedangkan Nabi SAW telah menggariskan beberapa kriteria untuk mencari pasangan, antaranya sabda Nabi SAW:
تُنكَحُ المَرأةُ لأربَعٍ: لمالِها، ولحَسَبِها، ولجَمالِها، ولدينِها؛ فاظفَرْ بذاتِ الدِّينِ تَرِبَت يَداكَ
Maksudnya: “Seorang wanita dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang memiliki agama, nescaya kamu akan beruntung.”
(Riwayat Muslim)
Walaupun hadis ini menyebut tentang wanita, para ulama menjelaskan bahawa prinsip yang sama juga terpakai dalam memilih pasangan secara umum. Kecantikan boleh berubah, harta boleh berkurang, kedudukan boleh hilang. Namun agama dan akhlak yang baik menjadi asas kepada kebahagiaan adalah lebih berkekalan.
Begitu juga dalam memilih lelaki, akhlak adalah kriteria utama yang amat ditekankan, berdasarkan sabda Nabi SAW:
إِذَا جَاءَكُم مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وخُلُقَهُ، فأنْكِحُوهُ
“Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia”.
(Riwayat al-Tirmizi, bertaraf hasan gharib)
Berdasarkan nas-nas ini, antara perkara yang wajar diketahui dalam proses ta’aruf ialah agama, akhlak, latar belakang keluarga, keturunan, aspek kewangan, serta rupa paras dan keserasian yang dibenarkan syarak. Nabi SAW juga membenarkan bakal pasangan melihat antara satu sama lain kerana ia lebih membantu mengekalkan keharmonian selepas perkahwinan.
Oleh itu, ta’aruf yang syarie bukan sekadar mengenal rupa luaran, tetapi turut merangkumi perkara-perkara yang disebut atau diisyaratkan oleh syarak sebagai faktor penting dalam membina rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Semakin jelas perkara-perkara ini dibincangkan, semakin mudah kedua-dua pihak membuat keputusan dengan matang.
Akan tetapi, setiap pasangan yang ingin berta’aruf perlu diingatkan agar dalam keinginan mengenali pasangan, Islam tetap menetapkan beberapa garis panduan yang perlu dijaga.
Antaranya:
- Mengelakkan khalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
- Menjaga percakapan dan pergaulan.
- Mengelakkan hubungan yang terlalu lama tanpa tujuan yang jelas.
- Tidak berkongsi perkara-perkara yang melampaui keperluan.
- Melibatkan ibu bapa atau pihak yang dipercayai apabila diperlukan.
Tujuan penekanan adab-adab ini adalah untuk menjaga maruah, mengelakkan fitnah dan memastikan hubungan dibina atas dasar yang betul sejak awal.
Disamping berusaha mengenali pasangan dan mendapatkan pandangan pihak yang dipercayai, seseorang muslim disunatkan juga untuk melaksanakan solat istikharah sebagai usaha memohon petunjuk dan pilihan terbaik daripada Allah SWT berkaitan pemilihan pasangan.
Perlu diingatkan, istikharah bukan semata-mata menunggu mimpi atau petanda tertentu. Sebaliknya, ia adalah bentuk pengharapan kepada Allah SWT agar dipermudahkan pilihan yang terbaik. Allah SWT berfirman:
﴿وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ١٥٩﴾
Maksudnya: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah.”
(Surah Ali ‘Imran: 159)
Ayat ini menunjukkan bahawa keputusan yang baik lahir daripada gabungan usaha, perbincangan dan tawakal kepada Allah SWT.
Pada aspek yang lain, perlu juga diingatkan bahawa ta’aruf yang syar’ie bukanlah sesuatu yang menyusahkan. Sebaliknya, ia merupakan satu jalan yang membantu seseorang membuat pilihan hidup dengan lebih matang dan bertanggungjawab. Ramai orang bimbang jika tidak bercinta terlebih dahulu, mereka tidak akan bahagia selepas berkahwin.
Hakikatnya, terdapat ramai pasangan yang membina rumah tangga dengan cara yang diredai Allah SWT, akhirnya memperoleh kasih sayang dan kebahagiaan berkekalan dalam alam perkahwinan.
Dalam menghadapi cabaran pergaulan bebas tanpa batas yang semakin berleluasa pada masa kini, umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada prinsip dan hukum-hakam agama agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang membawa kebinasaan. Islam tidak melarang fitrah perasaan kasih sayang dan kecintaan antara lelaki dan wanita, namun Islam mengajarkan agar perasaan tersebut dipandu dan disalurkan melalui batas-batas syarak. Hal ini penting bagi memastikan hubungan yang terjalin sentiasa berada dalam lingkungan keredaan Allah SWT serta membawa keberkatan, ketenangan dan kebaikan, bukannya penyesalan pada kemudian hari.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita pasangan yang soleh dan solehah yang dapat membina keluarga berasaskan keimanan, keredaan dan ketakwaan.







