Cinta Kepada Nabi Saw : Antara Pengakuan & Pembuktian

             Hari ini kita sering mendengar ungkapan cinta kepada Baginda SAW dilafazkan melalui selawat, pujian dan pelbagai bentuk pengisian. Namun, satu persoalan yang lebih utama untuk kita renungkan ialah: sejauh manakah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW benar-benar terpancar dalam kehidupan?

Mencintai Rasulullah SAW bukan sekadar perasaan yang tersemat di dalam hati atau ungkapan yang dilafazkan di bibir. Bahkan, kecintaan kepada Baginda SAW merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman yang perlu dibuktikan melalui ketaatan dan kepatuhan terhadap ajaran Baginda SAW, di samping mengamalkan sunnahnya dalam kehidupan. Rasulullah SAW bersabda:

 

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

 

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.”

                                                                                                                                                                                                                       (Riwayat al-Bukhari)

                                                                                                                                                                                                                                                              

Hadis ini menjelaskan kedudukan dan kadar kecintaan yang sewajarnya dimiliki oleh seorang Muslim terhadap Rasulullah SAW. Kandungan hadis ini dapat difahami melalui dua perkara utama:

Pertama: Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu daripada tuntutan keimanan.

Kedua: Hadis ini menjelaskan bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW hendaklah melebihi kecintaan kepada seluruh manusia. Baginda SAW hendaklah lebih dicintai daripada ibu bapa, anak-anak, pasangan dan seluruh makhluk. Kecintaan sedemikian bukanlah bermaksud mengabaikan atau mengurangkan kasih sayang terhadap mereka, sebaliknya menunjukkan bahawa apabila berlaku pertentangan antara kehendak manusia dengan petunjuk Rasulullah SAW, maka petunjuk Baginda hendaklah didahulukan.

 Hal ini adalah kerana hak Rasulullah SAW terhadap kita lebih besar dan lebih utama berbanding hak seluruh manusia. Baginda SAW merupakan sebab kita memperoleh petunjuk daripada kesesatan, terselamat daripada azab api neraka serta memperoleh kejayaan di hari akhirat.

Dengan itu, kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan hanya diukur melalui sebutan dan pengakuan, tetapi ukurannya adalah sejauh mana seseorang mendahulukan ajaran Baginda, mengikuti sunnahnya serta menjadikan petunjuk Baginda sebagai pedoman dalam kehidupan.

Persoalannya, bagaimanakah kecintaan tersebut dapat dibuktikan?

Generasi sahabat RA telah memberikan contoh yang sangat jelas dalam membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW. Mereka bukan sahaja mengakui kecintaan kepada Baginda, bahkan kecintaan tersebut diterjemahkan melalui pengorbanan, pembelaan dan ketaatan kepada Rasulullah SAW. Ketika Rasulullah SAW mengingatkan Umar bin al-Khattab RA bahawa Baginda perlu dicintai melebihi dirinya sendiri, Umar RA segera membetulkan pendiriannya dan mengakui bahawa Rasulullah SAW lebih dicintainya daripada dirinya sendiri. Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:

 

عَنْ عَبْد اللَّهِ بْنِ هِشَامٍ، قَالَ: "كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ ﷺ وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ : لَا

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: فَإِنَّهُ الْآنَ، وَاللَّهِ، لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: "الْآنَ يَا عُمَرُ."

 

Maksudnya: “Pada waktu kami Bersama Nabi SAW, dalam keadaan Baginda memegang tangan Umar bin al-Khattab RA, l alu Umar berkata kepadanya: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri’. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri’. Umar lalu berkata kepada Baginda: ‘Sesungguhnya sekarang, demi Allah, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri’. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Sekarang, wahai Umar (mencapai kesempurnaan iman).”

                                                                                                                                                                                                              (Riwayat a-Bukhari)

 

Demikianlah gambaran cinta yang lahir daripada hati yang benar-benar mengenali, mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW. Manakala pada zaman kita, walaupun Rasulullah SAW telah wafat, namun rasa cinta terhadap Baginda tetap boleh direalisasikan dengan mengikuti sunnah-sunnah Baginda SAW dalam kehidupan harian. Firman Allah SWT:

 

﴿قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٣١﴾

 

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

                                                                                                                                                                                                                   (Surah Ali ‘Imran: 31)

Ayat ini menjelaskan bahawa cinta yang benar kepada Allah SWT akan melahirkan ketaatan dan ittiba’ kepada Rasulullah SAW. Seseorang yang benar-benar mencintai Allah SWT tidak memadai dengan sekadar pengakuan di bibir, bahkan kecintaan tersebut perlu diterjemahkan dengan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW. Semakin seseorang mengenali dan memahami kehidupan serta ajaran Baginda, semakin terdorong dirinya untuk meneladani Rasulullah SAW dalam aspek akidah, ibadah, akhlak dan seluruh aspek kehidupan.

Dengan demikian, ittiba’ Rasulullah SAW merupakan antara bukti nyata kebenaran cinta seorang hamba kepada Allah SWT, di samping menjadi manifestasi kecintaannya kepada Rasulullah SAW.

Tambahan pula, kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sahaja memberikan kesan dalam kehidupan di dunia, bahkan mempunyai kaitan yang sangat besar dengan kehidupan di akhirat. Antara keutamaan yang besar bagi orang yang mencintai Rasulullah SAW ialah harapan untuk dikumpulkan bersama Baginda di akhirat kelak, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis riwayat Anas bin Malik RA:

 

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَتَى السَّاعَة؟ قال: "وَمَا أَعْدَدَتَ لِلسَّاعَةِ؟"، قال: حُبُّ اللَّه وَرَسُولٌُه. قَالَ: "فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ."

 

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bilakah berlakunya hari kiamat?’ Baginda bertanya: ‘Apakah yang telah kamu persiapkan untuk menghadapinya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.’”

                                                                                                                                                                                                            (Riwayat Muslim)

 

Betapa besar nilai sabdaan Rasulullah SAW ini sehingga Anas bin Malik RA menyatakan bahawa tiada kegembiraan yang lebih besar selepas nikmat Islam selain mendengar sabda Rasulullah SAW:

 

"فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ"

 

“Sesungguhnya engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.”

 

Anas RA kemudiannya berkata bahawa beliau mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW, Abu Bakar RA dan Umar RA, serta berharap untuk dikumpulkan bersama mereka walaupun amalannya tidak menyamai amalan mereka.

Hadis ini juga memberikan satu harapan yang sangat besar kepada kita. Walaupun kita tidak mampu menyamai kedudukan para sahabat RA, tidak mampu menyamai pengorbanan mereka dan tidak mampu mencapai tahap amalan mereka. Namun, kita tetap mempunyai ruang untuk mencintai Rasulullah SAW, mencintai para sahabat RA serta berusaha mengikuti jalan yang mereka tempuh.

Cinta yang sebenar tidak terhenti pada pengakuan di bibir, bahkan perlu diterjemahkan dalam kehidupan. Kecintaan kepada Rasulullah SAW akan mendorong seseorang untuk mengenali Baginda, mempelajari ajaran Baginda, mengikuti sunnahnya serta meneladani akhlaknya. Semakin seseorang mengenali Rasulullah SAW, semakin bertambah kecintaannya kepada Baginda dan semakin kuat dorongannya untuk mengikuti petunjuk yang dibawa oleh Baginda.

Maka, marilah kita bertanya kepada diri sendiri: Adakah kita benar-benar mengenali Baginda? Adakah kita membaca dan mempelajari hadis-hadis Baginda? Adakah kita berusaha menghidupkan sunnahnya? Adakah akhlak dan kehidupan kita semakin mendekati apa yang diajarkan oleh Baginda?

Cinta kepada Rasulullah SAW bukan sekadar untuk dilafazkan, tetapi untuk dibuktikan. Selawat yang dilafazkan di bibir hendaklah disertai dengan ittiba’ dalam kehidupan. Pujian kepada Baginda hendaklah diterjemahkan melalui ketaatan terhadap ajarannya.

Marilah kita menjadikan kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai dorongan untuk lebih mengenali Baginda, mempelajari hadis-hadisnya, mengamalkan sunnahnya dan meneladani akhlaknya. Mudah-mudahan kecintaan tersebut menjadi sebab kita memperoleh kemuliaan yang besar pada hari akhirat, iaitu dikumpulkan bersama orang yang kita cintai, termasuk Rasulullah SAW.

Semoga kita tidak sekadar menjadi umat yang mendakwa mencintai Rasulullah SAW, tetapi benar-benar menjadi umat yang mengenali, mengagungkan, mencintai dan mengikuti Baginda SAW, sehingga Allah SWT mengurniakan kepada kita kesempatan untuk bersama Baginda di akhirat kelak.

 

 

 

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 824
Semalam 1794
Minggu Ini 8749
Bulan Ini 37434

Keseluruhan 3934144

   Masa Capaian : 0.91 saat    Kemaskini :  18/9/2026