Hari Raya Aidiladha : Tuntutan & Adab

            Sambutan dalam Islam sentiasa berkait rapat dengan musim ketaatan yang besar. Salah satu sambutan yang menjadi pensyariatan kepada umat Islam adalah sambutan hari raya Aidiladha, yang merupakan hari kemuncak menghiasi musim ketaatan pada bulan haji. Allah SWT menetapkan hari raya kepada umat Islam untuk diraikan dengan penuh kegembiraan dan ketaatan kepada-Nya. Anas bin Malik RA berkata:

 

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ  الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا، فَقَالَ: "مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ؟"، قَالُوا: "كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ"، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ  : "إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا: يَوْمَ الْأَضْحَى، وَيَوْمَ الْفِطْر"

 

“Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika mereka mempunyai dua hari untuk berseronok padanya. Baginda bertanya: “Apakah dua hari tersebut?”, mereka berkata: “kami biasa bermain pada kedua-duanya pada zaman jahiliah”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dengan yang lebih baik daripada keduanya, iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri”.

(Riwayat Abu Dawud, bertaraf sahih)

 

Hadis ini menggambarkan bahawa hari raya merupakan hari untuk bergembira, bertemu sanak saudara, bukan hari untuk berduka. Antara keagungan hari ini juga adalah dengan dijadikannya sebagai hari yang dilarang untuk berpuasa, sebaliknya dituntut untuk makan dan minum padanya, sabda Baginda SAW:

 

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

“Hari-hari Tasyrik adalah hari makan dan minum.” 

(Riwayat Muslim)

Dalam meraikan hari raya, terdapat beberapa tuntutan dan adab yang perlu dilihat, seperti berikut:

  1. Bertakbir

Salah satu syiar utama dalam menyambut Hari Raya Aidiladha adalah dengan melaungkan takbir membesarkan Allah SWT. Takbir pada Hari Raya Aidiladha adalah bermula seawal selepas Subuh hari Arafah, pada 9 Zulhijjah, dan berterusan sehingga waktu Asar hari Tasyrik terakhir, iaitu Asar 13 Zulhijjah. Ali RA dan Ammar RA berkata:

 

وَكَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ، وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

“Baginda bertakbir bermula hari Arafah pada Solat Subuh dan menghentikannya waktu Solat Asar pada hari Tasyriq terakhir”.

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak)

  1. Mandi sunat hari raya

Disunatkan untuk mandi sunat hari raya pada pagi hari raya tersebut bagi semua orang, tidak kira lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak. Anjuran untuk mandi pada pagi raya ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Nafi’, bahawa Abdullah bin Umar RA:

 

كَانَ يَغْتَسِلُ يوم العيد قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

“Beliau mandi pada hari raya sebelum beliau pergi ke tempat solat.”

(Riwayat Malik, bertaraf Sahih)

 

  1. Berhias dan memakai pakaian terbaik

Pada hari raya, menjadi sunnah untuk menghiaskan diri dan memakai pakaian terbaik, berdasarkan ungkapan Abdullah bin Umar RA:

أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ فَأَخَذَهَا فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالْوُفُودِ . فَقَالَ لَهُ

رَسُولُ اللَّهِ : إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لَا خَلَاقَ لَهُ

“Umar RA mengambil sehelai jubah daripada sutera kasar yang dijual di pasar, lalu beliau mengambilnya dan membawanya kepada Rasulullah SAW dan berkata: wahai Rasulullah, belilah ini dan berhiaslah dengannya untuk hari raya dan untuk menyambut para tetamu. Rasulullah SAW menjawab: Sesungguhnya ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian (di akhirat)”.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Ungkapan Nabi SAW dalam hadis ini bukan merujuk kepada larangan berhias dengan pakaian yang terbaik, tetapi Baginda SAW menjelaskan larangan memakai pakaian daripada sutera. Adapun berhias dengan mewangikan diri, memakai pakaian yang cantik dan terbaik merupakan suatu anjuran di hari raya.

Dalam sebuah riwayat lain, kata Nafi’:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَلْبَسُ فِي الْعِيدَيْنِ أَحْسَنَ ثِيَابِهِ

“Ibnu Umar RA memakai pakaian yang paling baik pada dua hari raya”.

 

  1. Makan selepas solat

Antara sunnah pada hari raya Aidiladha juga adalah tidak menjamah makanan sebelum menunaikan solat sunat hari raya. Hal ini berbeza dengan hari raya Aidilfitri, dimana kita disunatkan untuk menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menunaikan solat hari raya. Berkaitan perkara ini, Buraydah al-Aslami RA meriwayatkan:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّه لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الفِطْرِ حَتَّى يَأكُل، وَكَانَ لَا يَأكُل يَوْمَ النَّحْرِ حَتَّى يَرْجِع

“Rasulullah SAW tidak keluar pada hari raya Aidilfitri melainkan Baginda makan, dan (Baginda SAW) tidak makan pada hari raya nahr (korban) melainkan setelah pulang”.

(Riwayat Ibn Majah, bertaraf sahih)

 

  1. Pergi dan pulang dari jalan yang berlainan

Disunatkan juga untuk memilih jalan lain sewaktu pergi dan pulang daripada menunaikan solat hari raya, bagi membolehkan untuk bertemu dengan kaum muslimin dan beramah mesra dengan mereka pada hari raya. Jabir bin Abdullah RA berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

“Nabi SAW apabila hari raya, Baginda akan melalui jalan yang berbeza”.

(Riwayat al-Bukhari)

 

  1. Memakan sebahagian daging korban dan bersedekah

Bagi mereka yang berkorban, menjadi sunnah buat mereka untuk makan sebahagian daging korbannya dan bersedekah bakinya yang lain kepada fakir miskin. Tuntutan ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 28:

 

﴿ فَكُلُواْ مِنۡهَا وَأَطۡعِمُواْ ٱلۡبَآئِسَ ٱلۡفَقِيرَ ﴾

“Dengan demikian, makanlah kamu (dari daging korban) dan berilah makan kepada orang susah”

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, Aidiladha merupakan hari yang menghimpunkan antara kegembiraan dan pengagungan kepada Allah SWT. Hari tersebut dihiasi dengan pelbagai ibadah, seperti takbir, solat sunat hari raya, ibadah korban, serta pelbagai sunnah lain yang bukan sahaja terhad kepada ibadah, malah mengeratkan hubungan serta ukhuwwah sesama umat Islam. Secara tidak langsung, hari raya ini merupakan satu medan penyatuan ummah, penzahiran kesyukuran dan pengorbanan, penghayatan kesusahan fakir miskin, disamping keagungan kepada Allah SWT, dalam suasana penuh berkat, harmoni, kesamaan, dan ketenangan.

Image

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 149
Semalam 1506
Minggu Ini 149
Bulan Ini 24478

Keseluruhan 3691901

   Masa Capaian : 1.02 saat    Kemaskini :  12/6/2026