Dua Nikmat Yang Manusia Sering Tertipu Dengannya : Kesihatan & Masa Lapang
Daripada Abdullah Ibn Abbas RA, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu padanya, iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”.
(Riwayat al-Bukhari)
Besarnya Kurniaan Allah SWT kepada Hamba-Nya
Setiap manusia hidup dalam lautan nikmat Allah SWT. Bahkan setiap perkara yang dimanfaatkan oleh manusia pada hari ini sama ada penglihatan, pendengaran, tenaga, keluarga, ilmu, harta, keamanan dan masa, semuanya merupakan kurniaan daripada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
﴿وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ ﴾
Maksudnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya”.
(Surah al-Nahl:18)
Firman Allah SWT lagi:
﴿وَمَا بِكُم مِّن نِّعۡمَةٖ فَمِنَ ٱللَّهِ ﴾
Maksudnya: “Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka ia adalah daripada Allah”.
(Surah al-Nahl:53)
Oleh sebab itu, setiap nikmat perlu untuk disyukuri. Syukur bukan dengan sekadar ucapan di lisan, bahkan merangkumi pengiktirafan hati bahawa semua nikmat berasal daripada Allah SWT, memuji-Nya dengan lisan serta menggunakan nikmat tersebut pada jalan yang diredai-Nya.
Allah SWT berfirman:
﴿ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ ﴾
Maksudnya: “Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambahkan nikmat kepada kamu.”
(Surah Ibrahim:7)
Namun demikian, Allah SWT mengingatkan bahawa hanya sedikit dalam kalangan manusia yang benar-benar bersyukur:
﴿ وَقَلِيلٞ مِّنۡ عِبَادِيَ ٱلشَّكُورُ ﴾
Maksudnya: “Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”
(Surah Saba’ :13)
Nikmat pada asalnya merupakan suatu keuntungan. Akan tetapi, ada manusia yang akhirnya menjadi rugi disebabkan nikmat tersebut kerana gagal memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya. Inilah yang dimaksudkan dalam hadis Nabi SAW tentang manusia yang “tertipu” dengan nikmat kesihatan dan waktu luang.
Pertama: Nikmat Kesihatan
Kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang sangat diinginkan oleh setiap manusia. Dengan kesihatan, seseorang mampu bekerja, mencari rezeki, menuntut ilmu dan melaksanakan ibadah dengan sempurna. Nikmat kesihatan sebenarnya menjadi sebab utama seseorang dapat beribadah kepada Allah SWT dengan baik. Tanpa kesihatan, banyak ibadah menjadi sukar untuk dilakukan. Bahkan seseorang yang memiliki kekayaan sekalipun tidak mampu menikmati hartanya apabila tubuhnya ditimpa penyakit.
Sering kali manusia hanya menyedari besarnya nikmat kesihatan setelah ia hilang. Ketika tubuh sihat, seseorang mampu berjalan ke masjid, menghadiri majlis ilmu, berpuasa dan melakukan pelbagai ketaatan. Namun apabila sakit datang, banyak perkara yang dahulu mudah menjadi sukar.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: “Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana amalan yang biasa dia lakukan ketika sihat dan bermukim.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan besarnya rahmat Allah SWT kepada para hamba-Nya. Apabila seseorang diuji dengan sakit sehingga membataskan ibadahnya, namun dia tetap tidak meninggalkan ibadah tersebut, maka pahalanya adalah sama seperti mereka yang menunaikannya secara sempurna.
Pada aspek yang lain, hadis ini juga menggesa supaya kita membiasakan diri dan istiqamah dalam melaksanakan ibadah sewaktu sihat, kelak apabila diuji dengan kesakitan dan tidak mampu melaksanakan sesuatu ibadah dengan sebaik-baiknya kerana sakit, maka pahala pelaksanaan ibadah pada waktu tersebut adalah sama dengan pahala ketika sihat. Sebagai contoh, seseorang yang sentiasa solat berjemaah di masjid, kemudian dia ditimpa sakit sehingga tidak mampu hadir ke masjid, maka pahala solat berjemaah tetap dicatatkan untuknya kerana itu merupakan kebiasaannya ketika sihat. Berbeza dengan orang yang sememangnya tidak menjaga solat berjemaah ketika sihat, maka dia tidak memperoleh ganjaran tersebut apabila sakit menimpanya.
Adalah amat malang apabila seseorang diuji dengan sakit, namun masih tidak mahu kembali kepada Allah SWT, tidak mahu bertaubat dan terus meninggalkan solat serta ketaatan. Sedangkan sakit sepatutnya menjadi peringatan tentang lemahnya manusia dan perlunya bergantung dan memohon kepada Allah SWT.
Oleh itu, nikmat kesihatan hendaklah disyukuri dengan memanfaatkannya untuk melakukan amal soleh sebelum datangnya waktu sakit dan tidak berkemampuan.
Kedua: Nikmat Masa Lapang
Nikmat kedua yang disebut oleh Nabi SAW ialah masa lapang. Masa merupakan aset kehidupan yang paling berharga. Setiap manusia diberikan tempoh umur yang terbatas dan setiap detik akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Allah SWT telah bersumpah dengan pelbagai jenis masa pada beberapa tempat dalam al-Quran, seperti sumpah Allah SWT dengan waktu subuh (وَالْفَجْرِ), dhuha (وَالضُّحَى), siang (وَالنَّهَارِ), asar (وَالْعَصْرِ) dan malam (وَاللَّيْلِ). Sumpah-sumpah ini menunjukkan betapa pentingnya masa dalam kehidupan manusia.
Seorang Muslim seharusnya berusaha menjadikan setiap amalan dan urusan hariannya bernilai ibadah dengan membetulkan niat kerana Allah SWT. Bahkan prinsip kehidupan seorang Muslim disebut oleh Allah SWT:
﴿فَإِذَا فَرَغۡتَ فَٱنصَبۡ ﴾
Maksudnya: “Maka apabila engkau telah selesai daripada sesuatu urusan, bersungguh-sungguhlah pula dalam urusan yang lain”.
(Surah al-Insyirah:7)
Ayat ini mendidik seorang Muslim agar sentiasa produktif dalam kebaikan. Apabila selesai satu amalan, dia berpindah kepada amalan lain yang bermanfaat.
Kadangkala seorang muslim kelihatan terlalu sibuk dengan ibadah dan amal kebajikan seolah-olah mereka tidak mempunyai waktu untuk rehat. Namun hakikatnya, mereka hanya tidak mahu membazirkan masa pada perkara yang tidak memberi manfaat.
Nabi SAW bersabda:
اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
“Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara: masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum miskinmu, masa lapangmu sebelum sibukmu, dan hidupmu sebelum matimu”.
(Riwayat al-Hakim, bertaraf sahih)
Demikian juga kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud RA:
إنِّي لَأَبْغَضُ الرَّجُلَ فَارِغًا لَا فِي عَمَلِ دُنْيَا وَلَا فِي عَمَلِ الْآخِرَةِ
Maksudnya: “Aku sangat membenci seseorang yang menganggur, iaitu tidak melakukan amalan untuk dunianya dan tidak juga untuk akhiratnya”.
Hadis Nabi SAW dan ucapan Abdullah Ibn Mas’ud RA di atas saling berkaitan dalam mendidik seorang Muslim agar menghargai masa dan tidak mensia-siakan kehidupan. Nabi SAW mengingatkan bahawa nikmat seperti masa muda, kesihatan, waktu lapang dan kehidupan hanyalah sementara serta boleh hilang pada bila-bila masa. Oleh itu, setiap peluang hendaklah dimanfaatkan sebelum datang halangan seperti sakit, sibuk, tua atau kematian.
Ucapan Ibn Mas’ud RA pula menunjukkan bahawa seorang Muslim tidak sepatutnya hidup dalam keadaan kosong tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia atau akhiratnya. Seorang Mukmin seharusnya sentiasa mengisi waktunya dengan perkara yang baik seperti ibadah, menuntut ilmu, bekerja mencari rezeki halal dan membantu orang lain. Ini kerana masa yang telah berlalu tidak akan kembali, dan orang yang mensia-siakan waktunya termasuk dalam kalangan orang yang rugi.
KESIMPULAN
Kesihatan dan masa lapang merupakan dua nikmat besar yang sering dipandang ringan oleh manusia. Ramai yang hanya menyedari nilainya setelah kesihatan hilang dan masa berlalu tanpa manfaat. Seorang Muslim yang bijak ialah mereka yang memanfaatkan nikmat kesihatan untuk beribadah dan menggunakan waktu lapang bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum datangnya sakit, kesibukan dan kematian. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan manusia yang rugi dan tertipu dengan dua nikmat ini.







