Haji Wada’: Puncak Kesempurnaan Dakwah Rasulullah SAW
Haji Wada’ merupakan momen bersejarah perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW. Setelah 23 tahun Baginda SAW bersama para sahabat mengharungi pelbagai ujian, rintangan dan tentangan kaum musyrikin, misi murni untuk mengajak umat untuk mentauhidkan Rabb al-Jalil dan membasmi segala bentuk kesyirikan mencapai kemuncaknya. Sepanjang tempoh tersebut, pengorbanan yang dicurahkan bukanlah kecil; nyawa dipertaruhkan dan harta benda dikorbankan demi meninggikan kalimah Allah SWT yang mulia di muka bumi ini. Sesudah melalui fasa dakwah yang panjang, pada tahun ke-9 Hijrah, Allah SWT mensyariatkan kewajipan ibadah haji melalui Surah ‘ali-Imran, ayat 97. Firman Allah SWT:
وَلِلّٰهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ اِلَيْهِ سَبِيْلًاۗ
Maksudnya: (Di antara) kewajiban manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, (iaitu bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. (‘ali-Imran:97)
Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirnya, jumhur ulama menyatakn bahawa ayat ini menunjukkan kewajipan haji ke atas umat Islam. (Tafsir Ibn Kathir, jilid 2, halaman 383).
Rentetan daripada itu, pada tahun 10 Hijrah, Rasulullah SAW dan para sahabat memulakan perjalanan untuk melaksanakan haji. Baginda SAW bertolak keluar dari Madinah bersama para sahabat pada penghujung bulan Zulkaedah selepas menunaikan solat Zohor. Setibanya di Zulhulaifah, Baginda SAW menunaikan solat Asar secara qasar, sebelum bermalam di sana.
Menjelang Zohor keesokan harinya, Nabi SAW mandi dan membuat persediaan berihram dengan berniat haji Qiran di Zulhulaifah, menunaikan solat Zohor dan memulakan perjalanan ke Mekah. Mustafa al-Siba‘i menukilkan dianggarkan seramai 114,000 umat Islam yang datang untuk melaksanakan haji bersama Rasulullah SAW. Angka yang luar biasa ini menjadi indikator jelas terhadap kejayaan dakwah Baginda SAW yang berkembang pesat dalam tempoh 23 tahun, mengubah landskap kepercayaan masyarakat Arab secara total.
Setibanya di kota Mekah, iaitu pada empat Zulhijjah, Baginda SAW masuk ke dalam Masjid al-Haram dan melaksanakan tawaf seterusnya Saie di Safa dan Marwah tanpa bertahallul. Pada hari Tarwiyah, Baginda SAW menuju ke Mina dan bermalam di sana. Keesokan harinya, pada 9 Zulhijjah, ketika matahari tergelincir, Baginda SAW menuju ke Arafah untuk berwukuf. Dalam perjalanan, Nabi SAW singgah di Wadi Uranah kemudian menyampaikan khutbah yang sangat menyentuh hati, sarat dengan pesanan terakhir buat umat Islam. Setelah itu, Baginda SAW melaksanakan solat Zohor dan Asar secara qasar dan jamak di wadi tersebut sebelum berwukuf.
Pada hari Arafah ini juga turunnya ayat daripada surah al-Maidah yang menerangkan tentang kesempurnaan agama Islam. Allah SWT berfirman:
ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا
Maksudnya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (al-Maidah: 3).
Al-Shaukani menjelaskan dalam tafsirnya bahawa kesempurnaan agama adalah turunnya sebahagian kefarduan serta hukum halal dan haram. (Fath al-Qadir, jilid 2, halaman 14).
Setelah terbenamnya matahari, Baginda SAW bergerak ke Muzdalifah untuk bermabit seterusnya melewatkan solat Maghrib ke waktu Isya dan memendekkannya . Perjalanan ibadat diteruskan pada keesokan harinya ke Jamarat untuk melontar diikuti dengan korban dimana Baginda SAW menyembelih sebanyak 63 ekor haiwan dengan tangan sendiri dan seterusnya ke Baitullah untuk melakukan Tawaf Ifadah.
Sepanjang hari-hari Tasyriq, Baginda SAW bermabit di Mina selama tiga hari. Setelah selesai, Baginda SAW kembali ke Baitullah untuk melaksanakan Tawaf Wada’ sebelum pulang ke Madinah. Ini merupakan ibadat haji terakhir yang ditunaikan oleh Baginda SAW bersama para sahabat.
Peristiwa Haji Wada’ ini bukan sahaja menandakan kesempurnaan syariat Islam, bahkan sebagai isyarat hampirnya kewafatan baginda. Segala penat lelah dalam dakwah selama 23 tahun ternyata membuahkan hasil dengan penyatuan umat Islam ketika melakukan ibadat agung ini.
Beberapa bulan sekembalinya dari Haji Wada’, Nabi Muhammad SAW pergi meninggalkan para sahabat dan dunia yang fana ini. Perpisahan yang berlaku ini merupakan satu detik hiba dalam sejarah Islam, sehinggakan ada di kalangan sahabat sukar menerima hakikat kehilangan insan yang paling dicintai. Baginda SAW wafat pada hari Isnin, 12 Rabi al-Awwal tahun 11 hijrah di usia 63 tahun. Namun demikian, Baginda SAW pergi meninggalkan legasi dakwah dan ajaran yang terus menjadi panduan sepanjang zaman kepada umat.







