Perlis,25 Oktober 2024– Pada hari ini, khutbah Jumaat di seluruh masjid di Negeri Perlis telah mengetengahkan satu topik penting yang menjadi panduan utama kepada umat Islam, iaitu "Adab-Adab Ketika Menghadiri Solat Jumaat”.
Khatib menekankan tanggungjawab yang wajib atas lelaki muslim untuk mendirikan solat jumaat dan ancaman kepada sesiapa yang meninggalkan kefardhuan tersebut.
Khatib menyeru jemaah agar hadir awal ke masjid. Hadir lewat untuk solat Jumaat sangat merugikan, ini kerana Allah SWT mengutus para malaikat untuk mencatat ganjaran pahala yang begitu besar dan istimewa bagi sesiapa yang paling awal datang ke masjid berbanding mereka yang lewat datang ke masjid sehingga khatib naik ke mimbar. Hadir awal juga membolehkan jemaah menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid dan berzikir sebelum khutbah dimulakan.
Satu lagi perkara utama yang ditekankan adalah kepentingan mendengar khutbah dengan penuh khusyuk. Khatib mengingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu kekhusyukan seperti bermain telefon bimbit atau berbual.
Jemaah juga diingatkan supaya sentiasa mengisi saf hadapan terlebih dahulu, mengelakkan daripada meninggalkan saf kosong. Dalam khutbah tersebut, khatib menegaskan bahawa jemaah yang tiba lewat perlu mengelak daripada melangkah atau menolak jemaah lain ketika mencari tempat duduk. Ini bagi memastikan suasana masjid sentiasa harmoni dan selesa untuk semua yang hadir.
Akhir sekali, jemaah dinasihatkan untuk menghentikan segala perbualan atau aktiviti lain sebaik sahaja azan berkumandang, dan memberi perhatian penuh kepada seruan solat. Menyahut seruan azan dengan hati yang tenang dan penuh keimanan menunjukkan kesungguhan dalam menjalankan perintah Allah SWT.
Khutbah hari ini telah menyampaikan mesej yang jelas tentang kepentingan menjaga adab ketika menghadiri solat Jumaat. Adab-adab ini bukan sahaja membantu memperbaiki amalan individu, tetapi juga mencipta suasana yang lebih tertib dan penuh keberkatan di masjid. Semoga nasihat yang disampaikan dalam khutbah ini dapat diterapkan dalam kehidupan seharian umat Islam, terutamanya ketika hadir ke rumah Allah.
Dengan mempraktikkan adab-adab yang baik, umat Islam di negeri Perlis diharapkan dapat meningkatkan kualiti ibadah mereka dan memperoleh ganjaran yang lebih besar di sisi Allah SWT.