Kangar, 17 Oktober 2024 – Karnival Literasi Undang-Undang Syariah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis, dengan kerjasama Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, telah menyaksikan penganjuran forum bertajuk "Nafkah: Mudah atau Payah?".
Forum ini berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, dengan kehadiran DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis, merasmikan majlis tersebut.
Forum berkenaan dimoderatorkan oleh Tuan Haji Mohd Nazim Bin Haji Mohd Noor, menampilkan tiga panelis berwibawa, termasuk SS Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis. Bersama beliau ialah Prof. Madya Dr. Roshimah Binti Shamsudin dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yang Arif Prof. Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan yang merupakan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perlis.
Mufti Negeri Perlis, mengetengahkan isu utama berkaitan tanggungjawab nafkah dalam perkahwinan, menekankan bahawa kesejahteraan sesebuah keluarga bergantung kepada sejauh mana suami memenuhi tuntutan nafkah. Menurut beliau, nafkah bukan hanya kewajipan untuk menampung keperluan material, tetapi juga melibatkan keadilan dalam setiap aspek kehidupan rumah tangga. Hal ini termasuklah peruntukan tempat tinggal yang selesa dan keperluan harian mengikut kemampuan suami.
Perkahwinan yang harmoni adalah suami menunaikan sepenuhnya tanggungjawab nafkah, tempat tinggal atau adil dalam pelabagai urusan. Inilah perkahwinan yang memenuhi objektif perkahwinan yang sebenar seperti yang dinyatakan dalam nas-nas syarak. Nafkah merupakan sesuatu yang dibelanjakan dan ia menjadi kewajipan bagi saraannya.
Dr. Mohd Asri turut memberi pandangan bahawa dalam konteks masyarakat moden yang berhadapan dengan cabaran kewangan, suami perlu bijak menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan diri. Beliau juga menyatakan bahawa agama Islam telah menetapkan panduan yang jelas berkenaan tanggungjawab nafkah ini, dengan mempertimbangkan keadaan ekonomi suami serta lokasi tempat tinggal.
Suami dan isteri perlu berbincang secara matang untuk mencari penyelesaian terbaik, terutama dalam menghadapi cabaran kewangan serta halangan dalam melaksanakan tanggungjawab. Mufti Negeri Perlis turut menekankan bahawa keharmonian rumah tangga harus berpaksikan ajaran Islam sebagai asas utama.
Dalam sesi tersebut, Mufti Negeri Perlis turut menyentuh isu fatwa negeri berkaitan suami yang enggan menunaikan nafkah terhadap isteri dan anak-anak. Beliau menegaskan bahawa jika perkara ini dibawa ke mahkamah dan suami didapati bersalah, tindakan undang-undang yang tegas seperti penyitaan harta, sebatan, atau penjara boleh dikenakan.
Forum "Nafkah: Mudah atau Payah?" ini telah memberikan kesedaran penting kepada hadirin, terutama dalam menghayati tanggungjawab nafkah yang perlu dipikul dengan adil dan bijaksana demi keharmonian rumah tangga.