KANGAR, 8 Oktober – Program Bicara Addin Bersama Mufti Negeri Perlis, Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, telah diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempena minggu orientasi pelajar baru. Program yang berlangsung pada jam 9.00 pagi itu disertai oleh lebih 2000 pelajar baru UniMAP.
Dalam sesi bicara tersebut, beberapa persoalan penting telah dibangkitkan oleh para pelajar, termasuk pendirian negeri Perlis mengenai perbezaan dalam aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah serta sikap negeri ini terhadap mazhab-mazhab fiqh. Mufti Perlis menekankan pentingnya memahami prinsip asas akidah dalam kalangan masyarakat Islam dan bagaimana perbezaan fiqh harus dilihat sebagai satu kekayaan dalam intelektual Islam.
Program ini merupakan salah satu inisiatif untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar baru mengenai isu-isu agama terutamanya fatwa Negeri Perlis dan membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik dan kehidupan kampus.
Turut hadir di dalam program berkenaan YBhg. Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah Timbalan Naib Canselor Unimap (Hal Ehwal Pelajar & Alumni).