Kangar, 3 Oktober 2024 – Seminar "Bagaimana Mencintai Rasulullah S.A.W." yang dianjurkan oleh Unit Isnad, Jabatan Mufti Negeri Perlis, di ILP Kangar berjaya mencuri perhatian ramai apabila para peserta dihidangkan dengan pelbagai perspektif menarik tentang cinta kepada Rasulullah. Kehadiran guru-guru agama dan masyarakat dari seluruh Perlis menjadikan acara ini medan pencerahan penting dalam memahami cinta sejati kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Ustaz Mohd Khairil Anwar Bin Abd. Latif memulakan perkongsian dengan topik "Kecintaan Para Sahabat Kepada Al-Rasul S.A.W." yang mengupas kisah-kisah luar biasa tentang pengorbanan sahabat Rasulullah yang menjadi inspirasi sepanjang zaman.
Seterusnya, Ustaz Abdul Jabbar Bin Mohd Kahar, tampil dengan ceramah bertajuk "Tanda-tanda Kecintaan Kepada Al-Rasul: Antara Hakikat dan Kepalsuan." Beliau meneliti isu kecintaan palsu yang hanya bersifat luaran tanpa jiwa yang tulus, memberi amaran agar umat tidak terjebak dalam amalan yang bercanggah dengan hakikat sebenar cinta kepada baginda. Beliau menyarankan agar masyarakat hari ini peka dengan perkembangan terkini dan melaksanakan sunnah dalam kehidupan seharian dengan menggunakan platform media sosial.
Seminar ini diakhiri dengan lontaran tegas daripada SS Mufti Negeri Perlis, Prof. Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, melalui ceramah penutupnya yang bertajuk "Pembohongan Cinta Atas Nama Agama" Beliau menyingkap isu-isu semasa dimana konsep cinta kepada Rasulullah sering disalahgunakan, menyeru agar umat kembali kepada penghayatan cinta yang sahih berdasarkan ilmu dan ajaran sebenar.
Seminar ini bukan sahaja memberi pencerahan tetapi turut menghidupkan semula semangat kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. dengan cara yang betul dan mendalam.