Beseri, 27 September 2024 – Ceramah keibubapaan yang bertajuk “Ibu Bapa Cerminan Anak-Anak” disampaikan oleh Sahibus Samahah (SS) Mufti Negeri Perlis, Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, menjadi tumpuan utama dalam sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Beseri. Program yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Beseri bermula pada jam 9.00 malam ini dihadiri oleh ibu bapa, guru-guru, dan penduduk setempat.
Dalam ceramah tersebut, SS Mufti Negeri Perlis menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak-anak. Beliau menegaskan bahawa sikap dan tindakan ibu bapa mencerminkan akhlak serta keperibadian anak-anak mereka.
SS Mufi turut menggariskan beberapa prinsip penting dalam mendidik anak-anak, termasuk memberikan perhatian kepada aspek rohani dan emosi mereka. Beliau menyarankan agar ibu bapa lebih peka terhadap keperluan anak-anak, sama ada dari segi perhatian, kasih sayang, mahupun didikan agama.
Selain itu, SS Mufti menekankan pentingnya komunikasi yang berkesan antara ibu bapa dan anak-anak. Menurut beliau, dialog yang terbuka dan penuh kasih sayang di dalam keluarga adalah kunci untuk membina hubungan yang kuat, sekaligus mencegah pelbagai masalah sosial yang dihadapi remaja masa kini.
Beliau juga, memberikan penekanan agar ibu bapa sentiasa mendalami ilmu keagamaan terutamanya bagi menjadi benteng diri dan ahli keluarga agar tidak tersasar daripada landasan yang sebenar. “keluarga bahagia ialah keluarga yang dibina berasakan ketakwaan kepada Allah dan memperolehi rahmat di dunia dan di akhirat.”
Program ceramah ini merupakan salah satu daripada beberapa acara utama yang diadakan sempena sambutan 100 tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan Beseri yang berlangsung dari 27 hingga 28 September 2024. Ceramah tersebut berjaya memberikan pencerahan dan panduan berguna kepada para hadirin, yang rata-rata menyifatkannya sebagai amat relevan dan bermanfaat.