20 September 2024 : Mimbar Jumaat pada hari ini memberikan didikan kepada umat Islam khususnya di Negeri Perlis untuk mencintai Nabi Muhammad SAW. Hal ini seperti yang terdapat dalam sebuah hadis yang Maksudnya:“Tiga perkara sesiapa yang memilikinya, maka ia akan mendapatkan halawatul iman (manisnya iman): “Hendaklah ia mencintai Allah dan RasulNYA lebih daripada selain keduanya”. (Hadis Riwayat Muslim).
Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa salah satu perkara untuk merasakan kemanisan iman, hendaklah dalam jiwa seseorang itu meletakkan Rasulullah SAW sebagai insan yang paling dicintai melebihi segalanya.
Dalam khutbah tersebut menampilkan beberapa cara dalam memupuk nilai kecintaan kepada Nabi SAW antaranya , berusaha mengenali diri Nabi SAW dengan lebih dekat. Dengan cara kita mempelajari hadis-hadis yang berkaitan keperibadian atau sifat fizikal baginda Rasulullah SAW. Umat Islam juga diseru untuk mempelajari sunnah serta menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dan menyebarkan ajaran Nabi dalam kehidupan seharian.
Umat Islam juga berkewajipan untuk membela Rasulullah SAW apabila baginda dihina. Membela Nabi SAW ketika baginda dihina oleh musuh-musuh Islam adalah merupakan suatu kewajipan dalam Islam.